Paya Besar Minta KPT Perjelas Proses Promosi, Tarik Pelajar Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah memohon Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperjelaskan mengenai proses promosi dan kempen bagi menarik pelajar antarabangsa menimba ilmu di universiti-universiti tempatan terutamanya di Pantai Timur.

Ini kerana katanya, kehadiran para pelajar antarabangsa dilihat mampu untuk menyuntik ekonomi masyarakat di kawasan tersebut memandangkan perbelanjaan purata mereka mencecah RM46,000 setahun.

“Saya ingin membangkitkan isu berkaitan desentralisasi pelajar antarabangsa kerana bagi saya ia mampu menjadi pemangkin pembangunan wilayah khususnya di pantai timur.

“Setakat 2 Oktober 2025, kita ada 170,000 pelajar antarabangsa yang menuntut di universiti dalam negara kita dan secara purata dapatan KPT pada tahun 2019… seorang pelajar antarabangsa, perbelanjaan purata mencecah RM46,000 setahun dan angka ini boleh meningkat ke RM80,000 setahun jika ia datang bersama dengan keluarga.

“Sekiranya sesebuah universiti menarik 1,000 pelajar antarabangsa sahaja, ini bersamaan sekitar RM46 juta suntikan ekonomi terus kepada masyarakat. Dengan adanya projek mega di Pantai Timur seperti ECRL dan Rancangan Lapangan Terbang Antarabangsa di Kuantan dan Kota Bharu, ini akan menjadi akses kepada universiti-universiti di Pahang, Terengganu dan Kelantan agar lebih kompetitif sebagai destinasi pendidikan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa usaha untuk menambah bilangan pelajar-pelajar antarabangsa di universiti-universiti luar Lembah Klang perlu giat diusahakan bagi mengangkat kawasan tersebut sebagai hab pendidikan.

“Statistik Pendidikan Tinggi 2024, jumlah enrolmen pelajar antarabangsa di lima universiti pendidikan utama, berada dalam lingkungan 4,000 ke 10,000 orang. Tetapi semua ini universiti yang berada di bandar-bandar utama.

“Persoalan saya, kenapa di universiti-universiti Pantai Timur masih mencatat angka yang jauh lebih rendah? Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ada 321 pelajar antarabangsa manakala Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ada 497 dan Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) yang salah satu kampusnya di bawah kawasan saya ada 497 sahaja.

“Itu sebabnya saya minta kerajaan melalui KPT untuk memperjelaskan di dewan yang mulia ini, apakah proses promosi dan kempen tarikan pelajar antarabangsa untuk berada di universiti luar Lembah Klang seterusnya mengangkat kawasan saya, Paya Besar sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa Wilayah Pantai Timur,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO