Banjir Thailand: 27,199 Rakyat Malaysia Telah Selamat Pulang Ke Tanah Air
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa hampir 27,199 rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air dalam operasi menyelamat selepas banjir melanda wilayah selatan Thailand terutamanya di kawasan Hatyai dan sekitarnya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan bahawa jumlah itu termasuk lebih 700 rakyat Malaysia yang berjaya dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam, semalam.

“Situasi pada 26 November menunjukkan paras air banjir menyurut dengan ketara apabila hujan lebat reda pada sebelah petang. Lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk mereka yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara mangsa banjir.
“Sehingga akhir 25 November, Jabatan Imigresen Malaysia merekodkan seramai 2,204 rakyat Malaysia telah melintasi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung, Wang Kelian serta pintu-pintu sempadan lain.
“Operasi menyelamat yang diselaraskan oleh pihak Kedutaan dan Pejabat Konsul Jeneral berjaya memindahkan 517 rakyat Malaysia dari 22 buah hotel, inap desa dan lokasi lain.
“Operasi tersebut turut melibatkan RTA (trak tunda), Persatuan Bulan Sabit (PBS), enam buah van United dan beberapa sukarelawan, dengan sekurang-kurangnya 18 perjalanan bas dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Jelasnya, dianggarkan kurang daripada 500 orang rakyat Malaysia masih terperangkap dan usaha menyelamat sedang dijalankan.
“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, seramai 27 orang pelajar dan 2 orang pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang terkandas juga telah merentas sempadan dan pulang ke Malaysia melalui pintu masuk di Pengkalan Hulu.Buat masa ini, dijangka kurang dari 500 rakyat Malaysia masih terkandas dan usaha membantu dan menyelamat mangsa yang terkandas masih terus dilakukan.
“Seramai 177 orang rakyat Malaysia telah pun diselamatkan pada pagi ini, ada sekumpulan pensyarah dan para penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap di Wangburapa Hotel di kawasan Hatyai lama. Kawasan ini teruk terjejas kerana ia berhampiran dengan sungai dan arus amat deras,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul untuk mengetahui keadaan semasa rakyat Malaysia yang terperangkap di sana.
“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, antara 22 hingga 25 November 2025, terdapat seramai 27,199 orang rakyat Malaysia telah selamat pulang ke Malaysia melalui lapan pintu masuk di sempadan Malaysia-Thailand. Atas semangat ASEAN, kita juga membantu memindahkan rakyat asing yang terkandas.
“Saya telah menghubungi rakan sejawat saya bertanyakan sama ada mereka memerlukan pasukan penyelamat daripada Malaysia. Tetapi beliau menyatakan bahawa keadaan dapat diuruskan oleh mereka sendiri. Tetapi, sukarelawan kita banyak ke sana untuk membantu. Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand.
“Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri Thailand bertanyakan khabar rakyat kita yang terperangkap di sana. Kita dapat banyak bantuan dan pertolongan yang amat baik dari pihak berkuasa Thailand,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
