IPD: Kuala Pilah Cadang Peruntukan Khas Penyelenggaraan Kecil Diberi Mengikut Gred

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan mencadangkan agar kerajaan memberikan peruntukan khas penyelenggaraan kecil mengikut gred kepada setiap Ketua Polis Daerah (OCPD) di seluruh negara.

Ujarnya, peruntukan tersebut berupaya digunakan untuk kerja-kerja pembaikan fizikal yang mendesak agar dapat diselesaikan dengan segera.

“Sebagai contoh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di bawah gred A diberikan peruntukan sebanyak RM150,000 dan RM100,000 kepada IPD yang berada di bawah gred B. Ini khusus untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan fizikal yang mendesak dapat diselesaikan dengan cepat.

“Pada masa ini, pembaikan kerosakan kecil sering tertangguh kerana perlu menunggu peruntukan diluluskan di peringkat lebih tinggi. Walaupun kecil, kerosakan sebegini memberi kesan besar kepada keselesaan anggota, kecekapan operasi dan imej perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kuala Pilah mengesyorkan agar peruntukan ini disertakan dengan syarat-syarat penggunaan yang jelas, sama ada melalui Arahan Pentadbiran, SOP dalaman atau garis panduan perolehan supaya penggunaannya kekal telus, berakauntabiliti dan selaras dengan peraturan kewangan kerajaan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan keperluan untuk baik pulih di IPD Kuala Pilah secara menyeluruh memandangkan beberapa blok bangunan, kemudahan operasi dan struktur asas di IPD tersebut telah uzur.

“Kuala Pilah memohon agar IPD Kuala Pilah diberikan keutamaan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan fasiliti memandangkan keadaan fizikalnya kini memerlukan
perhatian segera demi memastikan keberkesanan operasi kepolisan di peringkat daerah.

“Kuarters anggota polis di IPD Kuala Pilah yang sudah uzur juga perlu diselenggara. Beberapa unit kediaman menunjukkan kerosakan struktur, masalah saliran dan fasiliti asas yang tidak sesuai untuk didiami oleh anggota serta keluarga anggota polis,” katanya lagi.

“Berdasarkan Butiran 050400 – Head to Toe, sejumlah RM207.9 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2026 untuk pakaian seragam dan kelengkapan asas anggota PDRM. Namun, maklum balas dari lapangan menunjukkan jumlah set uniform yang diterima masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian, terutama bagi anggota barisan hadapan.

Mengulas lanjut beliau berkata, perkara tersebut melibatkan kebajikan anggota, penampilan profesional PDRM, keyakinan masyarakat terhadap institusi kepolisan, dan memberi kesan kepada motivasi anggota dalam menjalankan tugas harian.

“Kuala Pilah mengesyorkan kepada KDN supaya penambahan peruntukan pakaian seragam secara berkala selari dengan beban kerja mereka di lapangan dapat diberikan kepada anggota-anggota polis lain-lain pangkat ini.”

“Isu ini bukan sekadar soal pakaian, tetapi melibatkan kebajikan anggota, penampilan profesional PDRM, keyakinan masyarakat terhadap institusi kepolisan, dan memberi kesan kepada motivasi anggota dalam menjalankan tugas harian.

“Kuala Pilah percaya bahawa pelaburan kecil dalam kebersihan, keseragaman dan kualiti uniform akan memberikan impak besar kepada imej pasukan polis, prestasi kerja serta rasa bangga anggota terhadap perkhidmatan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO