“Kita Bikin Balik Sabah”, Manifesto BN Realistik – Ab Rauf

MELAKA, 22 Nov – Barisan Nasional (BN) Melaka menegaskan sokongan penuh terhadap Manifesto Pilihan Raya Negeri Sabah yang diumumkan BN Sabah, dengan mengangkat solidariti parti sebagai kekuatan utama menghadapi PRN tersebut.

Ketua Menterinya merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata manifesto tersebut membuktikan kesungguhan BN Sabah dalam merangka hala tuju pembangunan yang realistik dan berpaksikan rakyat.

“Manifesto ini bukan hanya kertas kerja politik ia adalah janji bersandarkan rekod, dibina atas pengalaman dan disokong perancangan yang rapi,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, BN Sabah telah membuktikan kesediaan untuk memacu agenda pembangunan melalui Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang membawa iltizam “Sabah Membangun Bersama”.

“Lebih 30 inisiatif di bawah enam teras utama ini adalah bukti bahawa BN tidak berjanji sesuka hati. Ini adalah komitmen yang berpijak di bumi nyata,” katanya.

Beliau menambah bahawa fokus RPS1 yang meliputi ekonomi berimpak tinggi, kebajikan rakyat, pendidikan berkualiti dan tadbir urus berintegriti memperlihatkan hala tuju yang matang serta berpandangan jauh.

“Kita mahu pembangunan sebenar, bukan janji manis. BN hadir dengan penyelesaian, bukan retorik,” ujarnya.

Dalam kenyataannya, beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kemampuan kepimpinan BN Sabah untuk melaksanakan manifesto ini.

“Kepimpinan BN Sabah tahu denyut nadi rakyatnya. Mereka memahami apa yang diperlukan untuk membawa Sabah ke tahap lebih gemilang,” katanya.

Tidak ketinggalan, beliau turut mengingatkan rakyat Sabah tentang rekod cemerlang BN suatu ketika dahulu.

“BN bukan parti yang muncul ketika pilihan raya sahaja. Kita telah bekerja, membangunkan Sabah, dan hasilnya dapat dilihat sehingga hari ini,” katanya lagi.

Ab Rauf juga percaya bahawa dengan sokongan rakyat dan pelaksanaan konsisten, manifesto ini mampu membuka lembaran baharu untuk Sabah.

“Jika rakyat terus bersama BN, kita bukan sahaja boleh membina semula Sabah — kita boleh melonjakkan Sabah ke masa depan yang lebih cerah.

“Melaka berdiri teguh bersama Sabah. Demi rakyat, demi masa depan, demi kestabilan — Kita Bikin Balik Sabah!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO