Rakyat Sabah Mahukan Perubahan, Jalaluddin Yakin BN Mampu Cipta Keputusan Luar Biasa

PUTATAN, 22 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dalam siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini pelbagai lapisan masyarakat yang ditemui di lapangan mahukan perubahan kepimpinan kerajaan negeri.

Menurut Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, hasrat rakyat negeri itu mahukan perubahan sangat ketara kerana tidak mahu lagi hak mereka dipinggirkan.

“Mereka memerlukan sesuatu perubahan, mereka memerlukan sesuatu yang lebih baik dan memerlukan pembelaan untuk rakyat Sabah bagi pilihan raya kali ini. Kerana mereka rasa sudah dipinggirkan hak yang seharusnya dapat daripada kerajaan (negeri).

“Jadi, saya yakin perubahan yang begitu ketara dengan semangat yang ditunjukkan ini, Barisan Nasional bakal mencipta keputusan yang luar biasa pada 29 Nov nanti, insya-Allah.

“Harap supaya kita kekal momentum, saya harap semua jentera dapat bekerja berlipat kali ganda lagi untuk memastikan calon-calon daripada Barisan Nasional akan dapat kemenangan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui sebaik selesai Majlis Ramah Mesra Bersama Calon BN di Markas PBRS Kampung Pasir Putih di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat Jeffery Nor Mohamed dan pimpinan PBRS tempatan.

Berhubung dengan calon BN Tanjung Keramat itu, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata rakyat perlu memberi peluang kepada Jeffery yang tanpa lelah sentiasa memberi khidmat terbaik buat rakyat di Putatan termasuklah di kerusi DUN itu.

“Jeffery ini merupakan antara pemimpin Barisan Nasional, pemimpin kepada masyarakat dan rakyat yang telah begitu lama memberi khidmat tanpa mengira peluang yang beliau perolehi.

“Walaupun beliau tidak dapat bertanding pada 2020 (PRN16) dan 2022 (Pilihan Raya Umum-PRU), tetapi Jeffery tidak pernah lari daripada perjuangan dalam apa keadaan sekalipun.

“Dan meneruskan khidmat pembelaan kepada rakyat di Putatan dan Tanjung Keramat ini dengan harapan supaya apa yang tertinggal oleh wakil rakyat (lalu) demi mandat itu dapat dilaksanakan,” katanya lagi yang yakin Jeffery akan mencipta kejayaan yang cemerlang pada 29 November nanti.

Manakala berhubung dengan keputusan parti meletakkan 80 peratus calon muka baharu, Jalaluddin berkata ini membuktikan BN tidak ketandusan barisan kepimpinan

“Bukan sahaja di Sabah, Negeri Sembilan di Semenanjung dan di mana-mana kawasan yang menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN dan malah PRU, sudah menjadi amalan Barisan Nasional dan Yang Amat Berhormat Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengetengahkan calon-calon di kalangan anak muda dan muka baharu.

“Bukan menidakkan kepada calon-calon lama tetapi memberi ruang, membuka peluang kepada lebih ramai lagi untuk memimpin masyarakat di kawasan mereka. Ini membuktikan bahawa Barisan Nasional tidak kekurangan pemimpin, tidak kekurangan tokoh berbanding parti yang lain,” katanya.

Jelasnya lagi, calon muka baharu bukan bermaksud baharu dikenali tetapi mereka semua sudah dikenali masyarakat setempat sebagaimana Jeffery dan juga Presiden PBRS Datuk Seri Arthur Joseph Kurup di Sook yang baharu ditampilkan sebagai calon di kawasan DUN masing-masing. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO