DUN Tanjung Keramat Milik BN, Kerja Berpasukan Kekalkan Kemenangan
PUTATAN, 22 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat adalah hak milik BN berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) terdahulu.
Ujar Menteri Pengajian Tinggi itu, beliau yakin calon BN bagi kawasan tersebut iaitu Jeffery Nor Mohamed mampu mendapat sokongan daripada rakyat dalam PRN Ke-17 ini.

“Tanjung Keramat ini asalnya biru, tapi yang pastinya kemenangan Barisan Nasional di Tanjung Keramat dulu adalah parti Barisan Nasional/UMNO dan saya yakin Jeffery akan mendapat sokongan daripada rakyat di sini. Ini adalah tapak Barisan Nasional.
“Rakyat di sini mempunyai semangat yang kuat apabila melihat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional, tanpa mengira siapa termasuk dalam bidang pembangunan,” katanya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Bersama Calon BN di Markas PBRS Kampung Pasir Putih di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Jeffery yang juga ketua UMNO Bahagian Putatan dan pimpinan PBRS tempatan.
Terdahulu, Dr Zambry turut berkempen untuk calon Kerajaan Perpaduan DUN Tanjung Aru Datuk Chan Foong Hin di Grace Point Food Court, Kota Kinabalu.

Ujarnya lagi, menjadi tradisi BN dalam membela rakyat terutama yang melibatkan masa depan anak muda khususnya akses untuk mendapatkan pendidikan.
“Dalam bidang pendidikan tradisi membela rakyat kita teruskan. Sebagai contoh, anak-anak kita mahu masuk universiti, ada tempat Barisan Nasional tidak menang tetapi ketua-ketua bahagian yang ada memainkan peranan besar.
“Ada yang tidak dapat masuk universiti kerana keluarga susah, ada tiga empat kes mohon bantuan saya, akhirnya pelajar-pelajar itu dapat sambung belajar. Inilah usaha yang kita lakukan,” katanya.
Justeru itu, Dr Zambry menyeru semua jentera berganding bahu dan sama-sama berusaha untuk memastikan BN menang.
“Mungkin dalam seminggu ini pelbagai serangan akan dibuat, serangan subuh, tengah malamlah, jangan dengar semua itu. Kita mesti tetapkan keyakinan bahawa calon Barisan Nasional kita, bekerja sebagai satu pasukan, turun ke bawah ceritakan kepada rakyat beliau wakil kepada semua untuk melaksanakan tanggungjawab nanti. Ini sangat penting.
“29 November nanti sama-sama bantu antara satu sama lain, kita ada pelbagai rakan kita daripada PBRS, komponen Barisan Nasional kita bekerja sebagai satu pasukan. Bila bekerja sebagai satu pasukan, yang susah akan jadi senang,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah kali ini.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon muka baharu dengan tekad ‘bikin balik Sabah’. – UMNO ONLINE
