Fasa Kedua Kempen Meriah, BN Yakin Momentum Sokongan Meningkat
SANDAKAN, 22 Nov – Meriah… begitulah gambaran serta suasana kempen yang kini memasuki fasa kedua tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, masing-masing yang bertanding dilihat cuba meraih sokongan masyarakat pelbagai peringkat.
Masing-masing ada perancangan dan pelaksanaan tersendiri dan senario itu dapat dilihat di Pekan Batu 8 Libaran apabila tiga calon Barisan Nasional (BN) termasuk calon Bebas berkempen di kawasan yang sama.
Masing-masing membawa ‘flyers’ untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar dan apa yang menarik kempen berkenaan menyemarakkan suasana tempoh berkempen yang berbaki seminggu.
Bagi Calon BN N52 Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir, pihaknya melihat momentum kempen ketika ini berada pada tahap yang sangat positif dengan semangat rakyat yang semakin ingin kembali kepada kepimpinan BN.
“Saya lihat momentum sekarang ini cukup baik. Semangat rakyat jelas menunjukkan mereka mahu kembali kepada kerajaan BN. Pengundi-pengundi di kawasan ini, khususnya di daerah Sandakan, menunjukkan penerimaan yang sangat baik sepanjang tempoh kempen,” katanya.
Menurut beliau, sambutan positif itu dapat dirasakan setiap kali turun padang bertemu masyarakat di bandar dan kampung, malah ramai yang menyuarakan kerinduan terhadap pentadbiran BN yang pernah membawa kemajuan kepada kawasan tersebut.
Sementara itu, calon BN DUN Karamunting, Datuk Chin Kim Hiung pula menyifatkan gelombang perubahan kian ketara dan sambutan kempen yang cukup baik daripada masyarakat pelbagai kaum memberi lonjakan semangat untuk beliau terus berkempen.
“Fokus utama perjuangan kita jelas air, api, dan jalan. Kita rangkumkan sebagai ‘AJK’: Air, Jalan, dan ‘Karen’ (elektrik). Inilah tiga perkara yang paling penting, inilah isu harian rakyat, dan inilah yang benar-benar membebankan pengundi. Kalau BN diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan di negeri ini, saya yakin masalah asas ini dapat diselesaikan. Ini bukan janji kosong.
“Kalau tiga perkara asas ini pun gagal disediakan, jangan cerita pembangunan lain. Buat pusat angkasa pun tak ada gunanya. Beri tanah percuma pun pelabur tidak akan masuk. Air tiada, elektrik tidak stabil, jalan rosak siapa berani melabur? Jadi hentikanlah mimpi besar kalau perkara asas pun gagal.
“Saya merayu kepada para pengundi di Surusabah – marilah kita kembalikan semula pentadbiran yang stabil. Kita sudah ketinggalan 8 tahun, terganggu 8 tahun, dan rakyat yang menanggung akibatnya. Mudah-mudahan, dengan sokongan tuan-tuan dan puan-puan kepada BNl, kita dapat mengembalikan kesejahteraan dan masa depan yang lebih terjamin,” tambahnya. – UMNO Online
