PRN Sabah: Anak Muda Pengundi Kali Pertama Pilih BN, Yakin Urus Tadbir Lebih Baik
PUTATAN, 22 Nov – Golongan muda kali pertama sebagai pengundi berkata mereka memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (Sabah) Ke-17 ini.
Mereka yang ditemui oleh UMNO Online di Juara Arena Badminton di sini, berkata ini kerana kebolehan BN dalam mentadbir negeri Sabah sebelum ini yang banyak membawa pembangunan dan kemajuan berbanding parti pasca 2018 yang menjadi kerajaan.
Begitu juga mereka berkata hanya BN yang mampu menyelesaikan masalah membelenggu rakyat negeri itu terutama berkaitan masalah bekalan air, penyelenggaran jalan raya serta membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada golongan muda.

Menurut Putri Nur Natasya Abdul Ghani, 18, BN yang pernah memerintah dan membangunkan Sabah perlu diberi peluang untuk menyelesaikan pelbagai masalah di negeri itu terutama yang berkaitan isu air, bekalan elektrik dan penyelenggaran jalan raya.
“Barisan Nasional pernah mentadbir dan mengurus negeri Sabah dan kita harus memberi peluang sekali lagi untuk Barisan Nasional memperluaskan dan mempertingkatkan lagi apa yang kurang, apa yang perlu diubah suai di negeri Sabah.
“Sebagai contohnya ialah tiga serangkai iaitu isu air, elektrik dan jalan raya. So, dengan adanya pentadbir urus Barisan Nasional yang sudah berpengalaman lebih mereka akan boleh meneruskan lagi usaha-usaha (menyelesaikan) tiga serangkai itu agar negeri Sabah maju jaya,” ujar penuntut jurusan Pengurusan Undang-undang Penguatkuasaan di salah sebuah insitusi pengajian tinggi (IPT) swasta di sini.
Manakala bagi seorang lagi pengundi kali pertama, Siti Nur Saadiah Wan Ah Seng, 18, berkata BN perlu dipilih semula mentadbir negeri Sabah dan atas faktor memperkasakan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) untuk anak-anak muda.
“BN kan sudah lama di Sabah, jadi why not kita bagi peluang sama BN untuk perbaiki pentadbiran di Sabah ini. Sekarang inikan peluang pekerjaan lebih kepada mengambil pelajar-pelajar TVET,” katanya.

Begitu juga bagi pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Putatan, Mohd Fairuz Wilfred, 18, ternyata BN pernah memakmurkan Sabah dan ia perlu dikembalikan sebagai pentadbir negeri.
“Barisan Nasional perlu diundi sebagaimana yang kita tahu Barisan Nasional pernah mentadbir Sabah dan saya berharap apabila Barisan Nasional memerintah ia dapat mengubah suai dan membuat penambah baikan air, elektrik dan pelbagai lagi.
“Barisan Nasional semasa mentadbir dahulu ia dapat menyatukan rakyat dengan lebih mesra dan makmur. Bagi saya, undilah BN,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon muka baharu. – UMNO ONLINE
