Undi BN, Redzuan Komited Perkasakan Anak Muda Di Pantai Manis
https://www.facebook.com/share/v/1BQjWd9725/
PAPAR, 20 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) N.29 Pantai Manis, Redzuan Ismail menyatakan keyakinan tinggi untuk parti terbabit menang lantaran sokongan rakyat khususnya golongan belia yang beliau terima sepanjang lima hari berkempen di kawasan tersebut.
Menurutnya, sokongan yang diterima iaitu khususnya daripada anak muda amat memberangsangkan dan melambangkan kesediaan mereka untuk melihat perubahan serta pembangunan lebih pesat di Pantai Manis.
Redzuan berkata, rata-rata anak muda menyuarakan keinginan terhadap peluang pendidikan dan kemahiran yang lebih terancang bagi membuka ruang pekerjaan yang lebih luas.
“Mereka mahu aspirasi anak muda diangkat. Mereka mahu peluang pendidikan, kemahiran, dan penekanan terhadap pembangunan potensi diri. Ini penting untuk menambah peluang mereka menyertai sektor pekerjaan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, antara permintaan golongan muda ialah penubuhan pusat latihan kemahiran di Papar bagi memastikan golongan muda yang tercicir dapat meneruskan pembelajaran serta memperoleh peluang pekerjaan dalam bidang teknikal dan vokasional.
Dalam pada itu, Redzuan menegaskan keperluan mengundi BN kerana rekod lampau parti itu telah membuktikan keupayaannya menjaga kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan yang stabil dan berterusan.
“BN adalah parti yang stabil dan mampu menjamin masa depan rakyat. Pada penggal-penggal yang lalu telah terbukti bagaimana pembangunan, kebajikan rakyat dan hab pendidikan diberi keutamaan,” jelasnya.
Beliau menambah, tekadnya untuk mewakili rakyat Papar diperkukuhkan dengan keyakinan bahawa hanya melalui pentadbiran yang teratur, kawasan itu dapat dipacu ke arah pembangunan lebih menyeluruh.
Sekiranya diberi mandat, Redzuan berjanji untuk memastikan Papar berkembang dalam pelbagai sektor termasuk pekerjaan, pendidikan, pelancongan serta keusahawanan.
“Saya berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dan peniaga muda untuk memasarkan produk mereka ke pasaran luar. Ramai anak muda di sini mempunyai kemahiran dan saya mahu mengangkat mereka sebagai usahawan berjaya,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada 29 November nanti.
“Mari kita keluar mengundi beramai-ramai. Ajak seluruh ahli keluarga untuk mengundi BN, barisan yang stabil dan komited memastikan kejayaan serta kemakmuran negeri Sabah,” katanya.
Dengan tekad yang tinggi dan fokus terhadap pembangunan potensi generasi muda, Redzuan optimis mampu membawa Pantai Manis ke arah masa depan yang lebih cerah. – UMNO Online
