Pasca-PRN Sabah: BN Sedia Bekerjasama, Bentuk Kerajaan Negeri Baharu

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bekerjasama dan menyokong pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi satu kenyataan berkata, BN merakankan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN pada PRN baru-baru ini.

“BN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN pada PRN Sabah ke-17. PRN ini merupakan suatu proses demokrasi yang matang dan BN menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dengan hati yang terbuka serta penuh rasa hormat terhadap suara dan mandat mereka.

“BN juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh
jentera parti dari seluruh pelosok negara yang telah bertungkus lumus sejak hari
pertama kempen sehingga ke saat terakhir.

“Segala keringat, masa dan komitmen yang dicurahkan adalah lambang kesetiaan dan semangat perjuangan demi parti serta demi kepentingan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kerjasama yang dizahirkan itu adalah demi memastikan Negeri Sabah terus berada dalam landasan kestabilan.

“Selaras dengan kenyataan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 29 November 2025 yang lalu, BN bersedia untuk bekerjasama serta menyokong pembentukan Kerajaan Negeri yang baharu di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kerjasama ini dizahirkan demi memastikan Negeri Sabah terus berada dalam
landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat
negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO