Pasca-PRN Sabah: BN Masih Utuh, PN Tak Boleh ‘Dabik Dada’ – Zawawi
KUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berpandangan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) di enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini menunjukkan bahawa parti ini masih utuh di negeri tersebut.
Ujarnya, pandangan itu dibuat setelah melihat kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh semua parti.

“Keputusan PRN Sabah baru-baru ini memperlihatkan kedudukan BN masih utuh jika dibandingkan dengan parti lain yang dianggap sebagai parti semenanjung.
“Jika kita lihat parti dari Sabah… GRS menang 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Warisan (25), UPKO (3), STAR (1), KDM (1) dan Bebas pula lima kerusi.
“Jika kita lihat parti semenanjung… BN menang enam kerusi manakala PKR (1), Perikatan Nasional (1) dan Dap tiada kerusi,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, rakyat Sabah telah menzahirkan keputusan berdasarkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ untuk menenggelamkan parti semenanjung namun BN masih mampu memperoleh enam kerusi pada PRN kali ini.
“Justeru, dgn keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Sabah dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ untuk menenggelamkan parti semenanjung… BN masih lagi berjaya dan mempunyai kekuatan akar umbi sehingga mendapat kemenangan sebanyak enam kerusi.
“PN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan satu kerusi itu kerana empat menteri besar, jentera dan sumber kewangan banyak yang telah beroperasi di Karambunai sebagai tumpuan. Sekarang ini, kemenangan mereka seperti perumpaan ‘telur sebiji, riuh sekampung,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
