Norliza Bidas Kenyataan Rendahkan Martabat Rakyat Sabah, Seru Pengundi Pilih Pemimpin Terbaik

KOTA KINABALU, 15 Nov – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa rakyat Sabah bukanlah golongan yang boleh dipandang rendah atau dibeli dengan sogokan murahan, susulan kenyataan seorang ADUN parti lain yang didakwa menyebut kononnya pengundi Sabah boleh diraih hanya dengan pemberian roti.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai “sangat memalukan” dan mencerminkan pemikiran cetek seorang pemimpin yang tidak memahami aspirasi rakyat negeri berkenaan.

“Sebagai pemimpin, janganlah kita pandang orang Sabah macam pengemis. Hanya dengan roti boleh beli undi? Saya yakin rakyat Sabah sudah sedar dan pandai memilih. Mereka menilai pembangunan, kebajikan, sosial dan pendidikan yang ditawarkan,” tegasnya kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan rakyat Sabah bukanlah mudah diperkecilkan, jauh sekali disamakan seperti boleh dipujuk dengan roti. Sebaliknya, katanya, masyarakat kini lebih matang dan melihat kepada masa depan negeri serta kelestarian hidup.

Justeru beliau menyeru rakyat Sabah yang berdepan dengan PRN ini agar bijak menilai dan memilih pemimpin iaitu yang benar-benar layak dan mempunyai bukti dalam pentadbiran.

Menurut Norliza, rekod Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa pembangunan sebenar telah dilaksanakan di Sabah, antaranya projek Pan Borneo memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Saya juga turun ke banyak kawasan di Sabah. Mereka mahukan pembangunan, mereka juga pentingkan pendidikan. Di Tenom contohnya, ramai anak-anak sudah mula menyimpan dalam SSPN kerana tidak mahu berhutang di masa depan. Pemikiran masyarakat luar bandar pun sudah berubah,” katanya.

Dalam masa sama, Norliza turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi ruang lebih besar kepada calon wanita pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

“Alhamdulillah, kali ini kita dapat ramai calon wanita. Mereka mempunyai kelayakan akademik, kekuatan perjuangan dan telah lama bekerja di kawasan masing-masing. Ini memang calon yang rakyat mahukan,” ujar beliau.

Norliza juga berikrar akan turun padang bagi memastikan semua calon wanita yang diberi amanah berjaya mencapai kemenangan bergaya.

“Gunakan kepercayaan parti ini dengan sebaik mungkin. Kempen habis-habisan. Buktikan bahawa wanita mampu menjadi wakil terbaik antara rakyat dan kerajaan,” katanya.

Beliau juga menzahirkan keyakinan penuh bahawa BN mampu membentuk kerajaan yang stabil dan berkesan di Sabah.

“Kita mahu semua kerusi yang BN tandingi dimenangi. Kerajaan terbaik untuk rakyat Sabah adalah kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional. Itu telah terbukti sejak dahulu,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO