BN Tonjol 80 Peratus Calon Baharu, Komitmen Bawa Pembaharuan Untuk Sabah – Tengku Adnan
TAWAU, 15 Nov – Barisan Nasional (BN) menampilkan 80 peratus calon muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, satu langkah berani dan paling progresif berbanding mana-mana gabungan politik lain.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan menampilkan majoriti calon baharu itu bukan keputusan sembarangan, sebaliknya hasil penilaian mendalam terhadap keperluan rakyat Sabah yang mahukan perubahan ketara demi masa hadapan rakyat dan negeri terbabit.
Beliau menjelaskan bahawa GRS hanya menampilkan sekitar 30 peratus calon baharu, manakala Warisan sekitar 40 peratus, sekali gus menunjukkan BN sebagai parti yang komited memperbaharui barisan kepimpinannya.

“Calon baharu BN bukan sekadar ‘muka baru’, tetapi terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kedoktoran, perniagaan dan pengurusan.
“Ini kerana BN mahu memastikan calon yang diketengahkan benar-benar mampu mentadbir negeri secara efisien dan memahami keperluan rakyat iaitu bukan sekadar mewarisi legasi politik keluarga sahaja.
“BN membawa calon yang datang dengan idea, pengalaman profesional dan kemampuan. Ini bukan politik warisan atau legasi, tetapi politik yang berpaksikan rakyat, kemajuan dan masa depan Sabah,” katanya dalam ucapan ketika bertemu dengan jentera BN di PDM Tinagat, semalam.
Turut bersama beliau ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Ahmal Salleh yang juga disertai calon BN DUN Apas, Dr Elmiariezan Ardan dan kepimpinan di bahagian terbabit
Tengku Adnan dalam ucapannya turut menggesa rakyat agar membuat penilaian menyeluruh terhadap calon dan parti yang bertanding, termasuk meneliti perjalanan politik pemimpin yang ada.
Beliau mengingatkan bahawa Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berakar umbi dalam UMNO/BN sebelum meninggalkan perjuangan asal mereka.
“Ini pemimpin yang ‘dibesarkan’ oleh parti, tetapi memilih untuk melompat dan akhirnya menentang parti yang membina karier politik mereka. Itu adalah satu pengkhianatan kepada perjuangan asal mereka.”
“Rakyat perlu melihat DNA politik setiap parti iaitu dari mana mereka datang, apa perjuangan asal mereka, dan apa matlamat sebenar mereka pada hari ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, Tengku Adnan menyentuh keadaan negeri Sabah yang kaya dengan hasil bumi namun masih berdepan isu fundamental seperti bekalan air yang sering terputus, bekalan elektrik yang tidak stabil, dan infrastruktur asas yang ketinggalan.

Menurutnya, inilah antara sebab utama BN memilih untuk mengetengahkan calon baharu yang diyakini mampu membawa pendekatan lebih berkesan dan berintegriti untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
Beliau menegaskan, calon baharu BN membawa bukan sahaja semangat muda, tetapi juga idea-idea segar dan kesediaan bekerja keras demi membangunkan Sabah dalam aspek ekonomi, kemudahan asas, pendidikan serta peluang pekerjaan.
“Sabah memerlukan kepimpinan yang tekun dan benar-benar mahu bekerja. Dengan 80 peratus calon baharu, BN menunjukkan kesediaan melakukan transformasi menyeluruh demi rakyat,” katanya.
Menurut Tengku Adnan, barisan calon baharu BN adalah kombinasi antara pembaharuan dan kestabilan parti, yang bersama-sama memberi tawaran kepimpinan paling seimbang untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju negeri.
“BN bukan hanya hidup pada sejarah, tetapi terus bergerak ke hadapan. Kita tampil dengan pasukan yang diremajakan, bersih dan bersedia memikul amanah rakyat,” katanya.
Beliau menambah, masa depan Sabah hanya akan lebih cerah jika rakyat memilih calon yang benar-benar berkeupayaan, berpengalaman, tetapi juga membawa tenaga dan dinamika baharu untuk membangunkan negeri secara menyeluruh. – UMNO Online
