Jelajah PTPTN Sabah Bukan Kerana PRN… Norliza Tegaskan Pentingnya Menabung

KIMANIS, 14 Nov – Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa musim pilihan raya adalah masa terbaik untuk rakyat menilai dan memilih pemimpin yang benar-benar layak, berupaya membantu menyelesaikan masalah rakyat, khususnya dalam hal pendidikan dan kos pembelajaran.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Program Sentuhan Kasih PTPTN 2025 bagi kawasan Kimanis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin di Dewan Perpaduan Kampung Mandahan, hari ini.

Norliza menegaskan bahawa Jelajah Sentuhan Kasih PTPTN sememangnya dilaksana setiap tahun dan kali ini di Sabah yang kebetulannya ada pilihan raya.

“Program ini menjelajah seluruh Malaysia dan untuk Sabah sendiri ini adalah kali yang kedua kerana tahun lepas kita telah laksanakan agihan ke 25 bahagian di sini iaitu memberi tabungan dalam akaun kepada anak-anak dari keluarga asnaf.

“Kebetulan kali ini adalah musim pilihan raya dan kita turun bukan kerana di sini ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana kita setiap tahun melaksanakan program ini untuk memberi bantuan dan menggalakkan budaya penabungan di kalangan masyarakat.”

Dalam hal ini, Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia mengingatkan bahawa PTPTN sendiri ditubuhkan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai usaha murni untuk membantu rakyat mendapatkan akses pendidikan tanpa terbeban dengan kos yang tinggi.

“Rakyat perlu memilih pemimpin yang terbukti komited memperjuangkan agenda pendidikan. PTPTN wujud kerana ada kepimpinan yang memikirkan masa depan rakyat, bukan sekadar menjanjikan perubahan,” katanya.

Pada program tersebut, PTPTN turut memberikan tabungan berbentuk akaun Simpan SSPN bernilai RM100 kepada penerima sebagai langkah menggalakkan masyarakat beralih daripada kebergantungan kepada pinjaman kepada budaya menabung.

Beliau menambah, Simpan SSPN memberi manfaat jangka panjang termasuk dividen tahunan yang menguntungkan rakyat.

“Ini adalah cara kita memupuk budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia. Pendidikan anak-anak adalah pelaburan masa depan, dan pemimpin yang baik ialah pemimpin yang memastikan asas ini terus diperkukuh,” jelasnya lagi.

Terdahulu program tersebut telah dilaksanakan di Papar semalam dan akan diteruskan di Kota Belud hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO