Dari Parlimen: Tenggara Cadang UPSR Dikembalikan

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan kerana pemansuhannya dilihat amat tidak praktikal.

Ujarnya, dengan adanya peperiksaan awam tersebut, ia berfungsi untuk memberi nilai kemampuan di samping membentuk disiplin diri pelajar sekolah rendah.

“Tenggara ingin singgung, isu yang berlegar kini berkaitan pemansuhan UPSR kerana ianya amat tidak praktikal. Pada saya ianya perlu dikembalikan kerana fungsinya besar, beri nilai kemampuan dan bentuk disiplin diri pelajar sekolah rendah.

“Tenggara nak tanya kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, adakah kita semua yang ada dalam dewan ini adalah ‘Generasi Kakak Tua’ yang hanya reti ‘mengulang sebut’ apa yang diajar, tetapi tidak faham maknanya?

“Dr Anuar Ahmad, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) turut berpandangan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga perlu dimansuhkan sekiranya amalan peperiksaan dalam sistem pendidikan negara dianggap melahirkan generasi `burung kakak tua’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Tegasnya, peperiksaan awam merupakan ukuran piawaian nasional dan ia mampi memupuk disiplin serta daya tahan pelajar supaya fokus dalam pembelajaran.

“Dr Anuar Ahmad juga berpandangan Penilaian Pelajar Untuk Program Antarabangsa (PISA) yang diuruskan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) juga wajar dimansuhkan kerana turut menggunakan format peperiksaan.

“Selepas ini kita guna sahaja gred Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk masuk universiti kalau nak anggap peperiksaan ini melahirkan generasi pelajar `burung kakak tua’.

“Kita nak UPSR sebab ia Ukuran Piawai Nasional dan menjadi Penanda Aras Akademik, mampu memupuk disiplin, daya tahan dan kesungguhan pelajar. Di samping itu, ia juga mampu beri arah tuju atau fokus pembelajaran. Saya harap kita boleh ‘collect data’ untuk rancang dasar yang lebih baik bagi menstabilkan semula ekosistem pendidikan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempergiatkan usaha untuk memperkaya bahasa Melayu dengan menambah sekurang-kurangnya 100 perkataan baharu setiap tahun.

“Tenggara juga nak cadang supaya DBP mempergiat usaha memperkaya bahasa dengan menambah kandungan Kamus Dewan, sekurang-kurangnya 100 perkataan baharu setiap tahun. Ini adalah untuk memastikan kamus tersebut sentiasa relevan, cerminkan penggunaan bahasa terkini. Boleh kaji atau kumpul kosa kata daripada dialek etnik tempatan mahupun slanga.

“Negara kita banyak etnik dan kaum maka cari perkataan yang memiliki potensi untuk diangkat demi memperkaya khazanah leksikal bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, DBP turut kena pantau atau iktiraf istilah teknologi baharu yang muncul dalam dunia masa kini seperti kecerdasan buatan, media sosial, permainan digital, inovasi sains dan lain-lain.

“Langkah ini penting untuk pastikan Kamus Dewan terus menjadi rujukan utama yang segar dan tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global serta mampu menyaingi bahasa-bahasa besar dunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO