Kepercayaan Pucuk Pimpinan BN, Abdul Manan Tekad Bangkitkan Bugaya
KOTA KINABALU, 14 Nov – Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat dan negeri atas kepercayaan yang diberikan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Menurutnya, pemilihan ini bukan sahaja satu penghargaan kepada dirinya, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh dedikasi demi rakyat DUN Bugaya.
“Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang telah memberi kepercayaan kepada UMNO Bahagian Semporna untuk bertanding di DUN Bugaya. Sebagai Ketua UMNO Bahagian, saya akan berjuang dengan penuh dedikasi demi memartabatkan UMNO/BN di Semporna.
“Keputusan yang dibuat oleh pucuk tertinggi BN terutamanya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar atas melantik saya sebagai calon DUN N66 Bugaya, jelas menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan jentera BN di Semporna dan seluruh Sabah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat.
“… dan tidak terlupa juga seluruh kepimpinan UMNO/BN serta akar umbi parti yang sentiasa menyokong serta mampu membawa suara rakyat Sabah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, BN sentiasa konsisten dalam membawa dasar pembangunan yang berpaksikan rakyat serta memastikan kesejahteraan dan kemakmuran terus dinikmati di setiap pelusuk negeri.
Mengulas lanjut, Abdul Manan menyeru seluruh rakyat di DUN Sabah agar bersatu hati dan memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN yang akan bertanding pada PRN kali ini.
“Masa depan Sabah perlu dibina semula dengan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat di bawah slogan ‘Bina Balik Sabah’ yang menjadi lambang tekad BN untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negeri ini.
“Kita mahu melihat Sabah kembali gah seperti dahulu iaitu maju, makmur dan menjadi contoh negeri yang bersatu padu di bawah pentadbiran yang stabil,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan seluruh jentera parti agar selalu turun ke bawah, mendekati setiap pengundi dengan ikhlas agar kepercayaan rakyat dapat dikembalikan sepenuhnya kepada BN.
“Jentera BN terus bekerja keras, turun padang dan mendekati rakyat dengan ikhlas, kerana kemenangan hanya akan tercapai apabila kepercayaan rakyat dikembalikan sepenuhnya kepada BN.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan kepercayaan yang utuh, kita mampu membina semula Sabah yang lebih makmur, maju dan sejahtera di bawah kepimpinan BN,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online
