Penipuan Dalam Talian: Rakyat Malaysia Diingat Sentiasa Berwaspada Ketika Ke Luar Negara
KUALA LUMPUR, 10 Nov – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara agar sentiasa berhati-hati bagi mengelak terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang negara yang dikunjungi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, peringatan itu turut merangkumi kesalahan berkaitan penipuan dalam talian yang semakin meningkat.
“Kita menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan memahami undang-undang negara yang mereka lawati,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ditanya Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkenaan bilangan warganegara Malaysia yang sedang ditahan atau telah dijatuhi hukuman di luar negara melibatkan kes penipuan dalam talian, dengan pecahan mengikut kaum, jantina dan negara tempat mereka berada.
Mohamad memaklumkan sehingga 8 November seramai 837 orang rakyat Malaysia yang ditahan khusus atas kesalahan penipuan dalam talian.
“Pecahan kaum seperti yang diminta, sebanyak 765 orang kaum Cina, 34 orang Melayu, 33 orang India dan lima orang kaum-kaum etnik lain.
“Paling ramai ditahan adalah di Republik Rakyat Cina iaitu seramai 545 orang ditahan, 505 orang lelaki manakala 40 perempuan.
“Kedua rakyat Malaysia yang ramai ditahan atas kesalahan penipuan dalam talian adalah negara Singapura iaitu 162 orang jumlahnya sebanyak 148 orang lelaki manakala 14 orang perempuan.
“Yang lain di Jepun 34, Korea 22, India 20, Indonesia 11, Thailand 10 orang,” ujar beliau. – UMNO Online
