Sistem Kawal Banjir: Beaufort Dapatkan Kepastian Mengenai Skim DSS

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching telah mendapatkan kepastian kerajaan mengenai pelaksanaan projek rintis kerjasama Malaysia dan Belanda di bawah skim Dutch Search Support (DSS) dalam teknologi kawalan banjir terutamanya di Beaufort.

Jelasnya, sistem tebatan banjir pintar tersebut akan berfungsi secara ‘real time’ mengikut kadar aliran sungai dan situasi cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Adakah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bercadang untuk melaksanakan projek rintis kerjasama Malaysia dan Belanda di bawah skim Dutch Search Support (DSS) dalam teknologi kawalan banjir di Beaufort?

“Sebagai contoh, sistem tebatan banjir pintar boleh dipasang di pintu kawalan automatik di Sungai Padas atau anak sungainya di Kampung Lawa, Kampung Batuan dan Pekan Beaufort.

“Sistem ini berfungsi membuka atau menutup pintu air secara ‘real time’ kadar aliran sungai dan situasi cuaca METMalaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan bahawa sistem SKADA digunakan pada ketika ini membolehkan pembukaan dan penutupan pintu air dilakukan secara automatik.

“Mengenai cadangan untuk diadakan kerjasama di bawah skim DSS. Memang ketika ini kita ada projek di Sabak Bernam yang diusahakan secara bersama untuk mendapat nasihat dan juga pandangan teknikal.

“Tetapi untuk kes ini, memang kita kena tengok kesesuaian dari segi tapak, keupayaan teknologi, kos dan keberkesanan jangka panjang. Cuma apabila disebut soal teknologi… bagaimana sama ada sistem automatik pintu air dan sebagainya, sememangnya di peringkat JPS kita telah mengaplikasikan sistem kawalan dan pemantauan dalam pengurusan banjir.

“Sebagai contoh, ada sistem yang kita panggil SKADA (Supervisory Control and Data Acquisition), digunakan untuk operasi pintu air yang membolehkan pembukaan dan penutupan dilakukan secara automatik serta dipantau berdasarkan keadaan semasa sungai termasuk kejadian air pasang surut,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO