KDN, PDRM Komited Wujudkan IPD Baharu Lebih Kondusif di Matu Daro – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan pembinaan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro di Parlimen Igan bagi menggantikan bangunan sedia ada yang telah beroperasi sejak tahun 1992 dan tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, projek pembinaan semula IPD Matu Daro telah beberapa kali diangkat dalam Rolling Plan 3, 4 dan 5 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bagi tahun 2023, 2024 dan 2025, namun tidak diperaku di peringkat Value At Entry (VAE) disebabkan kekangan keluasan tapak sedia ada serta ketiadaan fasiliti pengoperasian sementara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk mengenal pasti tapak baharu yang lebih strategik dan bersesuaian memandangkan keluasan minimum yang diperlukan bagi pembinaan IPD baharu adalah antara 10 hingga 15 ekar mengikut Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Bangunan Edisi 2024,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, projek pembinaan IPD Matu Daro telah disenaraikan di bawah Pelan Strategik PDRM (PSPDRM) 2026–2030 sebagai salah satu cadangan pembangunan baharu bagi mewujudkan tempat kerja yang lebih kondusif kepada anggota polis.

KDN dan PDRM akan membuat semakan keutamaan dan keperluan untuk dimasukkan dalam Rolling Plan berikutnya,” katanya sambil memaklumkan bahawa IPD Matu Daro kini mempunyai seramai 108 pegawai dan anggota yang diketuai oleh seorang Ketua Polis Daerah berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP).

Terdahulu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi  meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro di kawasan Parlimen Igan yang berada dalam keadaan daif dan tidak dapat menampung sejumlah keanggotaan yang sedia ada dan bilakah pembinaan semula atau naik taraf IPD ini akan dimulakan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan anggota serta masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO