Penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional Wajar Dipertimbangkan – Azalina
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Kerajaan berpendapat penambahbaikan kepada peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera, sambil kajian lanjut mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak diteruskan berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara
Perkara ini ditegaskan ketika beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini dan menekankan bahawa Kerajaan terus menzahirkan iltizam untuk memperkukuh sistem perundangan dan tadbir urus negara melalui agenda reformasi menyeluruh yang berteraskan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kedaulatan undang-undang.
“Dalam konteks ini, cadangan Yang Berhormat Ampang untuk penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional merupakan satu saranan yang sangat baik, bertepatan serta wajar dipertimbangkan, khususnya mengambil kira situasi semasa negara yang semakin terkesan dengan pelbagai isu berkaitan keselamatan, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.
“Kerajaan akan meneliti dengan dekat cadangan ini, termasuk dari segi mandat, struktur, perundangan dan implikasi kewangan, agar ia tidak bertindih dengan institusi sedia ada.
“Buat masa ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak sedang dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM, yang berperanan menasihati Kerajaan, memantau pelaksanaan Convention on the Rights of the Child (CRC) serta menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya.
Tambahan pula, kata beliau lagi jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak ini dibuat berdasarkan seksyen 6A Akta SUHAKAM 1999 [Akta 597], yang secara tidak langsung bermaksud tanggungjawab ini bukan sahaja untuk memberi tumpuan khusus kepada isu-kanak-kanak, tetapi juga mengambil kira kerangka tanggungjawab dan mandat SUHAKAM secara menyeluruh, termasuk pemajuan hak asasi manusia secara holistik.
“Mengambil kira bahawa populasi kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.13 juta atau sekitar 27.4 peratus daripada jumlah penduduk negara pada tahun 2023, perkara ini membuktikan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak ini amat tepat pada masanya dan bergerak seiring dengan visi Kerajaan supaya setiap negeri boleh ditempatkan seorang Pesuruhjaya KanakKanak pada masa hadapan,” ujarnya.- UMNO Online
