Warga Emas 60 Tahun Ke Atas Perlu Diutamakan Tunai Haji

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk memberi keutamaan kepada pendeposit Tabung Haji (TH) berusia 60 tahun ke atas bagi menunaikan haji melalui pakej Muassasah.

Menurut beliau, langkah memberi keutamaan kepada warga emas 60 tahun ke atas tanpa mengira latar belakang ekonomi akan memberi ruang kepada golongan ini menunaikan ibadah haji selagi masih sihat dan mampu.

“Saya ingin mencadangkan agar kerajaan melalui TH memberi keutamaan kepada pendeposit warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

“Tanpa mengira status ekonomi (B40, M40, T20) untuk dipilih sebagai jemaah haji Muassasah terlebih dahulu, sebagai satu bentuk keadilan sosial dan memberi peluang kepada mereka yang telah berusia,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Shamsulkahar, sistem pemilihan sedia ada yang berdasarkan kaedah first come, first serve serta keutamaan kepada mereka berusia 75 tahun ke atas wajar dikaji semula demi keadilan sosial dan peluang yang lebih saksama.

“Kita sedia maklum sistem pemilihan 31,600 Jemaah Haji Muassasah adalah bersandarkan sistem pendaftaran awal dan keutamaan hanyalah diberikan kepada pendeposit berumur 75 tahun ke atas.

“Dalam hal ini, mereka yang berumur 75 tahun ini sudah tentu tidak berapa kuat fizikal dan dikhuatiri tidak memenuhi syarat kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau memohon maklum balas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan cadangan tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO