Integrasi MyDigital ID Dalam myPTPTN Perkukuh Mudahkan Akses Perkhidmatan – Norliza

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa pelaksanaan integrasi identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN merupakan langkah penting dalam memperkukuh keselamatan, meningkatkan kecekapan dan memudahkan akses perkhidmatan secara dalam talian kepada pengguna.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO berkata, inisiatif ini bukan sahaja mempercepatkan urusan pelanggan, tetapi juga memastikan setiap transaksi yang dilakukan lebih selamat dan berintegriti, sejajar dengan perkembangan teknologi digital semasa.

“Integrasi MyDigital ID dalam aplikasi myPTPTN akan memberikan pengalaman pengguna yang lebih lancar, mudah dan diyakini. Langkah ini juga memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan data serta keaslian identiti ketika berurusan dengan PTPTN secara digital,” ujarnya.

Semalam, beliau telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan My Digital ID Sdn. Bhd. di Menara PTPTN, di sini.

Norliza turut menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang digerakkan oleh kerajaan dalam usaha memperkukuh ekosistem digital negara.

“PTPTN sentiasa komited menyokong agenda pendigitalan kerajaan. Melalui kerjasama ini, kami mahu pastikan rakyat mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang lebih selamat, pantas dan mesra pengguna — seiring dengan transformasi digital negara,” katanya.

Majlis tersebut menyaksikan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn. Bhd., Nik Hisham Nik Ibrahim menandatangani MoU berkenaan yang membuka jalan kepada kolaborasi digital antara kedua-dua pihak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO