Tragedi Jenayah & Krisis Nilai Di Sekolah: Cerminan Ketempangan Sistemik Pendidikan Negara
1. Saya menzahirkan kebimbangan yang amat serius terhadap peningkatan kes jenayah dan salah laku yang berlaku di institusi pendidikan kebelakangan ini, termasuk kes rogol berkumpulan di Melaka, kes tikaman pelajar di Bandar Utama, serta kes buli tragis melibatkan arwah Zara Qairina di Sabah.
2. Dalam tempoh yang singkat, begitu menggila kejadian-kejadian jenayah berlaku di institusi pendidikan kita. Rentetan kejadian ini bukan lagi isu disiplin pelajar semata-mata. Ia adalah cerminan ketempangan sistemik dalam pendidikan negara, tanda bahawa ekosistem sekolah kita sedang berdepan krisis nilai, kehilangan arah, dan kehilangan fungsi sebagai institusi pembentukan insan.
3. Saya berpandangan fokus pendidikan hari ini terlalu bertumpu kepada akademik dan peperiksaan, sedangkan fungsi utama sekolah ialah membentuk manusia, bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang di atas kertas.

4. Nilai empati, akhlak dan tanggungjawab sosial semakin luntur dalam kalangan pelajar. Guru pula semakin kehilangan ruang untuk menjadi pembimbing dan penguat disiplin.
5. Dasar yang terlalu berhati-hati hingga mengekang kuasa guru akhirnya mengundang padah, apabila disiplin tidak lagi mampu ditegakkan dengan tegas dan berkesan. Dasar disiplin sedia ada di sekolah perlu dinilai semula. Larangan hukuman fizikal tanpa garis panduan penguatkuasaan yang jelas telah melemahkan autoriti guru dan unit disiplin.
6. Ini adalah kegagalan kolektif yang menuntut transformasi menyeluruh, krisis nilai ini tidak berpunca daripada satu pihak semata-mata.
7. Kerajaan harus lebih tegas dan ambil langkah berani untuk mengawal kandungan media sosial bagi yang dibawah umur. Mengawal kandungan media sosial bukan benda baru untuk Kerajaan, jangan hanya kawal untuk politik, kandungan sosial juga harus diselia sama.
8. Sudah tiba waktunya Kerajaan berani melakukan transformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional. Sekolah mesti kembali menjadi tempat membina nilai, maruah dan kemanusiaan, bukan sekadar kilang peperiksaan.
9. Pendidikan harus membentuk manusia berprinsip, berempati dan berdisiplin, bukan hanya cemerlang di atas kertas.
10. Salam takziah buat mangsa dan ahli keluarga di atas tragedi yang tidak bermoral dan cukup menyayat hati.
11. Kita tidak boleh lagi memandang ringan setiap tragedi yang berlaku di sekolah. Ia adalah isyarat jelas bahawa sistem pendidikan dan nilai sosial kita sedang retak di dalam. Pendidikan mesti kembali menjadi asas pembinaan insan, bukan sekadar saluran peperiksaan dan tempat berlakunya kemalangan jiwa serta pelakuan jenayah.
Hafiz Ariffin
Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia
