UMNO Lahad Datu Perkukuh Jentera Hadapi PRN Sabah, Mantapkan Gerak Kerja
LAHAD DATU, 8 Okt – UMNO Bahagian Lahad Datu di bawah pimpinan Ketua Bahagian, Sharif Musa Sharif Mabul, telah mengadakan Mesyuarat Khas UMNO Bahagian Lahad Datu bagi memperkukuh kesiapsiagaan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.
Mesyuarat tersebut menumpukan kepada usaha memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Silam, Segama dan Tungku yang berada di bawah Parlimen Lahad Datu.
MenurutSharif Musa, PRN Sabah 2025 merupakan medan penting untuk rakyat memilih sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

“Segala perbincangan menjurus kepada memastikan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) berada dalam keadaan bersedia, selain memperhebatkan pelaksanaan program-program turun padang bagi mendekati rakyat.”
Beliau menegaskan bahawa perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan semata-mata untuk meraih kemenangan politik, tetapi bagi memastikan kebajikan dan masa depan rakyat Sabah terus terbela.
“UMNO/BN telah membuktikan kemampuan mentadbir dengan adil dan berkesan sebelum ini dan kita dapat lihat bagaimana keadaannya apabila pihak lain yang menjadi kerajaan.
“Apa yang penting, kita mahu memastikan suara rakyat di Lahad Datu, Kunak, Segama dan Tungku terus didengar dan dibela. PRN Sabah kali ini adalah peluang untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada perjuangan sebenar parti,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menekankan pentingnya perpaduan, disiplin dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan semua sayap parti bagi memastikan gerak kerja di peringkat akar umbi berjalan lancar.
Katanya, kekuatan UMNO terletak pada kesetiaan dan keikhlasan ahli-ahlinya dalam berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira waktu.
“Kita perlu terus berada dalam suasana muafakat dan semangat perjuangan malah ini adalah antara cerminan kesediaan UMNO Lahad Datu untuk memastikan kemenangan calon-calon BN di DUN yang akan kita tandingi kelak.
“Ini sekali gus mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat terhadap UMNO/BN sebagai wadah perjuangan sebenar rakyat Sabah.”
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Ketua Penerangan serta barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian, yang masing-masing berkongsi pandangan, pengalaman dan cadangan untuk memperkukuh kekuatan jentera pilihan raya.
Terdahulu, DUN Sabah dibubarkan 6 Oktober lalu, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17. DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik. – UMNO Online
