BN Bersolidariti Bersama Sukarelawan Global Sumud Flotilla
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Barisan Nasional (BN) menyelar sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis Israel yang menahan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia dan sukarelawan antarabangsa lain yang membawa mesej keamanan serta bantuan ke Gaza.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan
menegaskan bahawa misi flotilla tersebut adalah usaha kemanusiaan yang sah di sisi undang-undang antarabangsa, bertujuan membawa bantuan, sokongan moral dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus ditindas serta dikepung secara tidak adil di Gaza.

“Tindakan tentera Zionis menahan sukarelawan ini jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang maritim antarabangsa, serta norma kemanusiaan sejagat,” katanya.
Menurut beliau, BN turut menyatakan tiga pendirian utama:
1. Menyokong penuh usaha Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan lebih tegas termasuk menggunakan saluran antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera semua rakyat Malaysia yang ditahan.
2. Mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta komuniti antarabangsa agar tidak terus berdiam diri, sebaliknya mengambil langkah segera mendesak Israel membebaskan semua sukarelawan tanpa syarat.
3. Menggesa negara-negara sahabat, khususnya dalam kalangan OIC, ASEAN dan blok Non-Aligned Movement (NAM), menyuarakan solidariti serta menggerakkan tekanan politik dan diplomatik terhadap rejim Zionis.
Dr Zambry menegaskan semangat solidariti kemanusiaan tidak boleh dipatahkan oleh penindasan dan kekerasan, malah tindakan para sukarelawan flotilla ini adalah manifestasi keberanian, keinsanan dan keadilan sejagat yang wajar dihormati, bukannya ditekan.
“BN meminta seluruh rakyat Malaysia bersatu hati dan sama-sama mendoakan keselamatan serta kesejahteraan semua sukarelawan agar dibebaskan segera. BN juga akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin serta semua sukarelawan kemanusiaan yang berjuang demi kebebasan dan hak mutlak rakyat Palestin serta Gaza,” katanya lagi. – UMNO Online
