ADUN Parit Yaani: Hukuman FIFA Kecewakan Peminat Bola Sepak Tanah Air

BATU PAHAT, 2 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri menyifatkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai amat mengecewakan peminat bola sepak negara.

Menurut beliau, pengumuman itu dibuat tanpa penjelasan terperinci dan alasan yang jelas, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

“Tindakan FIFA ini bukan sahaja terburu-buru, malah dilihat seolah-olah hanya bersandarkan maklumat sebelah pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib berkata, ketika bola sepak tanah air sedang meniti kebangkitan dengan prestasi cemerlang Harimau Malaya, insiden ini wajar dijadikan pembakar semangat kepada seluruh rakyat untuk bersatu mempertahankan maruah pasukan negara.

Beliau turut menyeru agar solidariti ditunjukkan bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang kini mengetuai usaha mempertahankan kepentingan bola sepak Malaysia.

“Kita berharap proses rayuan yang akan berlangsung kelak memihak kepada Harimau Malaya, sekali gus membuktikan tindakan awal FIFA itu bukan sahaja khilaf, malah nyata tidak adil,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO