My GIG Angkat Suara Pekerja, Pemacu Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Setiausaha Majlis Ekonomi GIG Malaysia (My GIG), Fairuz Jamaluddin diberi tanggungjawab utama memastikan kelancaran pentadbiran, menyelaras keputusan mesyuarat, serta mendokong pelaksanaan dasar-dasar strategik badan tersebut.
Jelasnya, pekerja gig Malaysia akan dilengkapi dengan kemahiran tambahan bagi meningkatkan daya saing, sekali gus membuka laluan kepada mereka untuk menyertai sektor formal dengan pendapatan lebih stabil dan tetap.
“Selaras dengan perlembagaan My GIG, objektif utama adalah memperkasa rantaian ekosistem ekonomi gig di Malaysia yang merangkumi pekerja, penyedia perkhidmatan (platform dan non-platform), pelabur, pembuat dasar, serta komuniti pengguna bagi meningkatkan daya saing negara dalam era digital.
“Menyokong ekonomi digital dan inovasi, menjaga kebajikan, hak, keselamatan dan kesihatan pekerjaan gig serta kesejahteraan keseluruhan ekosistem. Menjadi saluran aduan rasmi bagi menangani isu industri gig, termasuk cabaran berkaitan perundangan, peraturan, pasaran dan teknologi.
“Bertindak sebagai perunding rasmi kepada kerajaan, kementerian, agensi dan pihak berkepentingan dalam merumuskan dasar serta pelaksanaan industri gig. Meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, menyediakan pangkalan data, perlindungan sosial, memacu penyelidikan industri, membina rangkaian kerjasama strategi serta menyediakan latihan kemahiran,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Fairuz lagi, ia bertindak sebagai entiti semak dan imbang yang bebas untuk menilai, memantau dan mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar, peraturan dan hala tuju industri gig mengikut keperluan semasa.
Ujarnya, My GIG mencerminkan komitmen bersama semua pihak untuk menjadikan ekonomi gig sebagai salah satu enjin pertumbuhan baharu yang lebih tersusun, progresif dan selari dengan agenda pembangunan negara.
“Seiring itu, perkembangan industri gig di peringkat global dan nasional membuktikan bahawa ia bukan lagi fenomena sementara, tetapi pekerjaan masa hadapan.
“Bank Dunia menganggarkan terdapat antara 154 juta hingga 200 juta pekerja gig dalam talian di seluruh dunia. Dari sudut nilai pasaran, kajian industri mengunjurkan bahawa ekonomi gig global bernilai sekitar USD 556.7 bilion pada 2024 dan berpotensi melebihi USD 2 trilion menjelang awal 2030an (anggaran sekitar USD 2.18 trilion pada 2034).
“Di Malaysia pula, sektor ini berkembang pesat dengan lebih 3.09 juta pekerja sendiri (own account workers) direkodkan pada 2024, merangkumi lebih 17 peratus daripada tenaga kerja negara.”
Ujarnya lagi, kajian lain turut menunjukkan sekitar 26 peratus tenaga kerja Malaysia pernah terlibat dalam pekerjaan gig, termasuk penghantaran makanan, e-hailing, perkhidmatan bebas digital, serta pelbagai bentuk kerja kontrak jangka pendek.
“Data MyDigital pula melaporkan bahawa 68 peratus pekerja gig Malaysia menjalankan kerja berasaskan lokasi, manakala sekitar 19 peratus berhasrat menjadikan pekerjaan gig sebagai kerjaya jangka panjang. Industri gig adalah kerjaya masa akan datang,” jelasnya.
Terdahulu pada mesyuarat agong pertama MY GIG yang dipengerusi oleh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, telah menegaskan bahawa My GIG bakal berperanan sebagai platform strategik untuk memperjuangkan kepentingan pekerja dan usahawan gig di Malaysia. – UMNO Online
