Konvensyen URA: Johari Hargai Pandangan SPARK, Seru Penyertaan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berbesar hati menerima kehadiran Sekretariat Perundangan & Advokasi Rakyat Kuala Lumpur (SPARK), bagi mengemukakan pandangan mereka berkenaan Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Johari yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) URA berkata beliau berbesar hati dengan inisiatif dilakukan SPARK tersebut yang memperoleh cadangan tersebut melalui Forum Diskusi SPARK yang dilaksana sebelum ini.

“Saya telah menerima cadangan-cadangan berkenaan isu Pembaharuan Semula Bandar (URA) daripada Pengerusi SPARK, Datuk Luqman Sheriff Alias yang juga merupakan seorang pakar perundangan.

“Cadangan-cadangan ini sebahagiannya merupakan hasil daripada Forum Diskusi SPARK mengenai URA yang diadakan pada 12 September 2025 yang lalu,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu juga turut menyeru semua pihak untuk hadir pada Konvensyen URA yang dijadual dilaksana pada esok.

Konvensyen tersebut dianjurkan hasil inisiatif UMNO, diadakan dengan bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat bagi memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Konvensyen ini akan dimulakan pada jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO