Industri Kejuruteraan Terus Jadi Tunjang Pembangunan Utama Johor – Aznan Tamin
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Industri kejuruteraan kekal menjadi tunjang pembangunan negara dengan nisbah seorang jurutera bagi setiap 138 orang penduduk, sekali gus mencerminkan keperluan kritikal terhadap tenaga profesional dalam bidang tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata negeri itu memainkan peranan penting dalam landskap kejuruteraan negara melalui kepesatan sektor pembuatan, tenaga, automasi, maritim serta hab elektrik dan elektronik.
Menurutnya, Negeri Johor menampilkan landskap kejuruteraan yang dinamik dengan kepesatan sektor pembuatan, tenaga, automasi, maritim serta hab elektrik dan elektronik yang menjadikannya nadi penting pembangunan ekonomi negara.
“Seiring dengan aspirasi Johor dan Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Johor memerlukan barisan jurutera baharu yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, tetapi juga berdaya cipta, inovatif, dan mampu bersaing di peringkat global. Penyediaan latihan industri yang berkesan menjadi agenda kritikal dalam membentuk mahasiswa kejuruteraan agar terus relevan dengan keperluan pasaran kerja.
“Johor yakin bahawa kolaborasi strategik ini akan melahirkan generasi jurutera Johor yang berdaya saing sekaligus menjadi pemacu utama kemampanan JS-SEZ.
“Inilah langkah nyata dalam memastikan Johor bukan sekadar hab industri, tetapi juga pusat kecemerlangan bakat kejuruteraan yang mengukuhkan kedudukan negeri di pentas serantau dan antarabangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Aznan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan peranan Johor Talent Development Council (JTDC) turut diperkukuh dalam menyelaras hubungan segitiga antara universiti, industri, dan pelajar.
“Melalui inisiatif ini, mahasiswa kejuruteraan bukan sekadar diberi pendedahan teknikal, tetapi juga dibentuk dengan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah menjadikan mereka bakat holistik yang bersedia untuk cabaran industri berteknologi tinggi,” katanya lagi.
Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat telah mengadakan perbincangan strategik bersama Board of Engineers Malaysia (BEM), Institution of Engineers Malaysia (IEM Cawangan Selatan), dan Technological Association Malaysia (TAM) Johor.
“Pertemuan ini menekankan peranan badan profesional dalam memastikan standard kejuruteraan dipelihara, sambil membuka laluan baharu untuk mahasiswa Johor mendapat peluang latihan industri yang lebih praktikal dan berimpak tinggi.
“Antara fokus utama perbincangan ialah cadangan kelonggaran kepada mahasiswa untuk menjalani latihan industri di semester akhir di syarikat-syarikat di Johor, dengan peluang besar untuk diserap terus ke dalam pasaran kerja sebaik sahaja tamat pengajian,” jelasnya.
Tambah Aznan, pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan kebolehpasaran graduan, malah menyokong usaha negeri dalam memastikan keperluan tenaga kerja mahir di bawah JS-SEZ dapat dipenuhi.
“Alhamdulillah perkara ini menjadi perhatian serius bagi pihak BEM yang dalam rangka untuk kelulusan tersebut,” ujarnya. – UMNO Online
