Konvensyen URA: Pandangan Segenap Lapisan Masyarakat Bakal Bantu Tambah Baik

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pandangan yang dilontarkan segenap lapisan masyarakat pada Konvensyen Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) atau URA bakal membantu Rang Undang-Undang (RUU) tersebut ditambah baik sebelum dibentangkan di Parlimen.

Jawatankuasa Petugas Khas untuk Penambahbaikan Akta RUU URA, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, UMNO tidak menolak keperluan dan kepentingan akta tersebut namun ia perlu diperhalusi dari pelbagai sudut.

“Insya-Allah pada Jumaat, 3 Oktober 2025 jam 8.30 pagi, kita di peringkat Jawatankuasa Petugas Khas untuk Penambahbaikan Akta RUU URA ataupun PSB yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat akan datang… UMNO Wilayah Persekutuan telah diberi mandat oleh pucuk pimpinan untuk melihat bagaimana kita boleh menambah baik akta ini

“Dalam masa yang sama kita juga tidak menolak keperluan dan kepentingan URA ini. Kita lihat ia ada memberikan nilai tambah tetapi banyak juga yang perlu diperhalusi daripada sudut politik, sosial dan ekonomi supaya kita boleh dapat keputusan ‘win-win situation’,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, beliau mengharapkan agar semua pihak memberikan kerjasama baik agar akta tersebut boleh turut memberi manfaat kepada rakyat.

“Pada masa sama, kita harap agar akta yang kita nak bentangkan dan perjuangkan ini mendapat pelbagai sudut pandangan, bukan sahaja daripada pihak pemegang taruh bahkan ahli akademik ataupun orang-orang berkepentingan.

“Kita juga akan dapatkan ‘street opinion’, maksudnya daripada masyarakat di luar sana tidak mengira Melayu, Cina atau India untuk memberikan pandangan tentang URA untuk kita bentangkan dalam konvensyen kali ini.

“Saya mengharapkan agar semua pihak terutamanya warga-warga Wilayah Persekutuan untuk memberikan pandangan mengenai RUU URA ini supaya kita sama-sama boleh perjuangkan demi kebaikan semua dalam memberi nilai tambah terhadap akta yang bakal dibentangkan oleh kerajaan ini,” katanya lagi.

Pada 23 September media melaporkan Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta PSB atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Pada 28 Ogos lalu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO