Solidariti ASEAN: Malaysia Sedia Hantar SMART ke Filipina

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan simpati mendalam terhadap rakyat Filipina berikutan gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda Wilayah Cebu lewat malam semalam.

Menurutnya, gegaran kuat itu telah meragut puluhan nyawa, mencederakan ratusan mangsa serta menjejaskan kehidupan jutaan penduduk di wilayah berkenaan.

“Laporan awal menunjukkan kerosakan infrastruktur amat serius, termasuk runtuhan separa bangunan kediaman dan komersial. Malah, Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima di Daanbantayan, sebuah struktur bersejarah berusia ratusan tahun, turut mengalami keruntuhan separa,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di beberapa kawasan, manakala jalan raya, jambatan dan infrastruktur kritikal lain mengalami kerosakan teruk dengan anggaran nilai kerugian keseluruhan mencecah USD45.7 bilion.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia sebagai negara jiran dalam ASEAN bersedia menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Filipina sekiranya terdapat permintaan rasmi.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya melihat langkah ini dapat menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan segera demi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan mangsa bencana,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan rakyat Filipina agar terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan Ilahi dalam menghadapi ujian besar tersebut.

“Semoga usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan, setiap mangsa mendapat pembelaan, dan Filipina kembali pulih serta membina semula kehidupan rakyatnya yang terjejas akibat gempa bumi ini,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO