WHDC: Usaha Kerajaan Penting Angkat Syiar Islam, Pelopori Industri Halal

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Penubuhan World Halal Development Council (WHDC) adalah usaha penting Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat syiar Islam dan mempelopori industri halal secara global.

Pegawai Agama Kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin berkata, usaha yang digiatkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini turut memberi peluang kepada pemain industri memasarkan produk mereka dengan lebih meluas.

“Apabila adanya sijil halal ini, para pembeli mempunyai keyakinan untuk membeli makanan ataupun barangan dijual. Jadi, pentingnya para pengusaha berusaha untuk mendapatkan persijilan halal. Sekarang ini, sedang dirangka dan diteruskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan satu ‘frame’ agar Malaysia menjadi sebagai pelopor halal bagi dunia.

“Jadi, kita nak bawa usaha tersebut pada hari ini supaya masyarakat Islam dan bukan Islam menjadikannya sebagai kewajipan serta keperluan untuk kita berdagang di peringkat antarabangsa.

“WHDC ini penting walaupun kita ini adalah negara kecil, tetapi ia menjadi rujukan dunia untuk negara-negara Islam dan juga bukan Islam dari aspek halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi podcast ‘Hitam Putih Kelabu’ yang disiarkan di Facebook UMNO Online.

Ujarnya, usaha yang dibawa oleh Presiden UMNO itu juga dilihat amat holistik dah menyeluruh.

“Apabila kita sebut mengenai isu halal ini, Datuk Seri Ahmad Zahid dilihat membawa satu pendekatan yang holistik dan menyeluruh supaya masyarakat di seluruh dunia melihat lebih mendalam tentang keterjaminan makanan.

“Semua ini (status halal) penting untuk kita pasarkan produk di luar. Datuk Seri Zahid melihat perkara ini untuk membantu semula umat Islam dalam dan juga luar negara maka ditubuhkan WHDC… supaya perkara disarankan oleh Rasulullah SAW dalam kita menjamin makanan, halal lagi baik.

“Kita sebagai umat Islam dan juga rakyat Malaysia perlu melihat usaha Datuk Seri Ahmad Zahid ini untuk mengangkat martabat syiar Islam. Pandanglah dengan mata hati, sebagai pemimpin beliau telah berusaha bukan hanya untuk bercerita tentang Islam… dalam masa yang sama membantu supaya kita bersiap sedia untuk jadi juara di pentas dunia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau menegaskan bahawa dengan kebijaksanaan kepimpinan Ahmad Zahid, Malaysia kini mula menempa nama dalam industri halal.

“Macam baru-baru ini saya difahamkan ada satu syarikat baru sahaja mendapat sijil halal… dia berniaga tahun lepas dapat RM40 juta dan pada tahun ini dia mensasarkan RM70 juta keuntungan.

“Maknanya, pentingnya Datuk Seri Zahid memikirkan bahawasanya Malaysia ini menjadi pelopor dan memacu sijil halal di peringkat antarabangsa. Kita menjadi rujukan negara-negara Islam dan bukan Islam yang lain. Mereka melihat Malaysia ini sebagai sebuah negara yang berusaha mengajak negara-negara lain ke arah lebih baik.

“Dengan kebijaksanaan Timbalan Perdana Menteri, beliau turut mengajak dunia untuk menjayakan misi supaya negara kita cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO