JOJ@Parit Yaani Tawar Pengisian Menarik Bermula Esok – Najib Samuri
BATU PAHAT, 1 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri mengajak masyarakat setempat hadir beramai-ramai memeriahkan Program Jelajah Orang Johor (JOJ) @ Parit Yaani yang akan berlangsung dari 2 hingga 5 Oktober 2025.
Menurut beliau, program yang bakal bermula esok dijangka menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Johor menerusi pengisian berbentuk kebudayaan, pendidikan, ekonomi, kesukanan dan kemasyarakatan.
“Program ini bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan rakyat negeri Johor dan memberi ruang untuk masyarakat setempat terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat,” katanya.
Kata beliau lagi antara lokasi utama penganjuran ialah Batu Pahat Mall, Tongkang Pecah serta seluruh kawasan DUN Parit Yaani.
“Pelbagai acara menarik telah disusun antaranya pameran agensi kerajaan & jabatan, Larian Neon Santai & Night Run, Pesta Tanglung Johor, Pertandingan e-sukan & bola keranjang, Pertunjukan lawan pedang dan sebagainya lagi.
“Manakala pada sebelah malam, pengunjung bakal disajikan dengan program kerohanian seperti Gema Maulid dan Sri Gading Berselawat.
“Kita juga akan adakan konsert live band melibatkan kumpulan popular seperti kumpulan Nasyid Saujana, Hyper Act, Sofazr serta persembahan kumpulan XPDC, Paling dinantikan tentunya Konvoi Santai sebagai acara penutup,” tambahnya.
Najib seterusnya menyeru orang ramai untuk membawa keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga bersama-sama hadir ke program tersebut.
“Jangan lupa, temu janji kita bermula esok hingga 5 Oktober ini. Ayuh kita raikan bersama semangat Johor melalui Jelajah Orang Johor @ Parit Yaani,” ujarnya. – UMNO Online
