Majlis GIG Malaysia Ganti Nama Baharu, Perjuang Hak Penggiat Industri – Sharkar
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Majlis GIG Malaysia (My GIG) berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Pertama yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri termasuk pemilik platform, vendor dan persatuan penggiat industri berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata mesyuarat itu membincangkan tujuh agenda utama selain melantik wakil baharu daripada kalangan pemegang taruh.

Screenshot
“Ini kali pertama semua pihak industri gig dihimpunkan dalam satu wadah dan jawatankuasa. Inilah peranan majlis untuk mengharmonikan industri gig di Malaysia,” katanya kepada UMNO-Online.
Sharkar seterusnya menambah antara isu yang dibangkitkan pada mesyuarat yang diadakan semalam termasuklah subsidi BUDI95, kadar tambang tidak sekata, perlindungan insurans, harga perkhidmatan yang terlalu murah, penyewaan akaun kepada warga asing serta keperluan subsidi PERKESO.
Tambahnya lagi mesyuarat turut menerima taklimat daripada Sekretariat TVET Negara mengenai peluang pembangunan kemahiran untuk pekerja gig.
“Beberapa program akan digerakkan antaranya kajian berkala mengenai harga tambang, penghubung antara industri dengan kerajaan serta penganjuran Anugerah GIG Malaysia bagi menghargai sumbangan lebih tiga juta pekerja gig termasuk 1.1 juta yang terlibat secara langsung dalam KDNK negara.
“Mesyuarat juga bersetuju menukar nama rasmi kepada Majlis GIG Malaysia, menggantikan Majlis Ekonomi GIG Malaysia bagi mencerminkan peranan yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan sokongan terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya GIG Malaysia (SINGGIM) seperti diumumkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
“Insya-Allah, MyGIG Malaysia akan memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada penubuhan suruhanjaya tersebut demi masa depan industri gig negara,” katanya. – UMNO Online
