Wanita Perlu Terus Diberi Ruang, Peluang untuk Berkembang – Noraini

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru agar wanita Malaysia tanpa mengira latar belakang terus diberi ruang dan peluang untuk berkembang.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata ini kerana wanita memainkan peranan penting dalam kejayaan sebuah bangsa.

“Wanita adalah nadi kekuatan bangsa. Harapan saya agar setiap wanita Malaysia sama ada di bandar mahupun desa, di rumah mahupun di pentas kepimpinan akan terus diberi ruang dan peluang untuk bersinar.

“Bersama, kita mampu mengangkat suara wanita menjadi suara perubahan, dan kepimpinan wanita menjadi penentu arah Malaysia menuju masa depan yang lebih cerah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Noraini berkata demikian ketika berkongsi kehadirannya ke Forum Agenda Wanita Negara dan Pelancaran Buku 30 Tahun CEDAW Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Program yang berlangsung di Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Kuala Lumpur itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Forum ini menjadi medan penting untuk memperkukuh kefahaman mengenai hak wanita, memperkasa peranan mereka dalam pembangunan negara serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesaksamaan gender di Malaysia.

Noraini turut memaklumkan turut dilaksana Pelancaran Buku 30 Tahun CEDAW Malaysia yang mendokumentasikan perjalanan tiga dekad negara dalam menunaikan komitmen terhadap prinsip-prinsip CEDAW.

“Ianya merupakan satu usaha dan komitmen besar yang mencerminkan iltizam Malaysia dalam memperjuangkan hak wanita,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO