Usaha Transformasi Nelayan Terus Diperkukuh – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 1 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh agenda transformasi nelayan demi memastikan kesejahteraan komuniti itu lebih terjamin pada masa hadapan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Encik Muhammad Faiz Fadzil di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, pertemuan itu memberi ruang untuk membincangkan pelbagai isu yang dekat dengan kehidupan nelayan, antaranya soal subsidi diesel, cabaran yang dihadapi golongan nelayan masa kini serta potensi pembangunan industri hiliran (downstream) agar hasil laut mampu memberi pulangan yang lebih baik.

“Kerajaan juga menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan anak-anak nelayan, khususnya dalam bidang pembaikan kapal dengan melibatkan GiatMARA dan UniKL (MIMET).

“Usaha ini diyakini dapat membuka peluang kemahiran serta kerjaya baharu buat generasi muda nelayan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Selain itu katanya, cadangan penggunaan tenaga solar di jeti-jeti nelayan turut dibincangkan bagi meningkatkan kecekapan dan kelestarian operasi di kawasan perikanan.

“Saya percaya dengan kerjasama erat ini, agenda pemerkasaan nelayan akan dapat diperkukuh demi masa depan yang lebih terjamin,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO