Harimau Malaya Lambang Maruah Negara, Pemuda UMNO Johor Tegas Pertahan Tunku Ismail

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Syes Mohamed menyifatkan Harimau Malaya bukan sekadar sebuah pasukan bola sepak namun sebagai lambang maruah dan harga diri negara.

Katanya, maruah Malaysia tidak boleh sesekali dipertikai atau dipermainkan kerana setiap proses penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap negara ini adalah hasil daripada usaha teliti.

“Kini masanya kita berhenti menyalahkan, sebaliknya berdiri bersama mempertahankan maruah Malaysia di pentas antarabangsa.

“Pemuda UMNO Johor akan sentiasa berdiri di belakang DYAM Tunku Mahkota Ismail dan bersama-sama dengan seluruh rakyat untuk mempertahankan Harimau Malaya, simbol kebanggaan kita semua,” katanya.

Beliau juga turut sama menyambut baik kenyataan Exco Belia dan Sukan Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah dalam mempertahankan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang kini memperjuangkan maruah bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Menurut beliau Tunku Ismail telah membuktikan melalui Johor Darul Ta’zim (JDT) bahawa transformasi bola sepak memerlukan visi, perancangan dan iltizam yang konsisten.

Syes menambah kejayaan JDT juga adalah cerminan nyata kepimpinan, komitmen dan kecintaan baginda terhadap pembangunan bola sepak tanah air.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah. Justeru, segala usaha yang sedang dijalankan mesti kita pertahankan bersama, bukan direndah-rendahkan.

“Pemuda UMNO Johor yakin niat DYAM Tunku hanyalah untuk melihat Harimau Malaya mengangkat martabat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Sebab itu, Pemuda UMNO Johor menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ideologi untuk bersatu hati, berdiri teguh di belakang kepimpinan baginda, serta menyokong usaha memperkasakan pasukan kebangsaan.,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO