ADUN Jeram Padang Komited Pastikan Kesejahteraan Rakyat
JEMPOL, 30 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat dengan memastikan aspek keselamatan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau dan meronda keadaan Jalan FT1276 dari persimpangan Jalan N17 (Dangi–Bahau) menuju ke Felda Bukit Rokan Utara yang telah siap dinaik taraf baru-baru ini.

“Saya berpuas hati kerana jalan ini telah siap diturap semula dengan lebih baik, garisan jalan diperbaharui, penghadang jalan, pepaku jalan, papan tanda arah baharu, lampu amaran serta perabot jalan turut dinaiktaraf. Lebih penting lagi, dua selekoh merbahaya yang sering menjadi lokasi kemalangan juga telah dinaiktaraf bagi meningkatkan keselamatan pengguna,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Jelasnya, projek naik taraf jalan tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM6.2 juta bagi tahun 2025, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya di aspek keselamatan.
Namun begitu, Mohd Zaidy menekankan masih terdapat keperluan tambahan seperti pemasangan lampu jalan di laluan berkenaan memandangkan keadaan yang terlalu gelap pada waktu malam boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
Selain itu, beliau turut meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi perhatian terhadap keperluan pencahayaan dan pelebaran persimpangan Felda Bukit Rokan Barat bagi dimasukkan dalam perancangan pembangunan seterusnya.

“Hal ini amat penting untuk dimasukkan dalam perancangan pembangunan naik taraf seterusnya memandangkan kawasan ini juga menjadi laluan utama penduduk dan sering padat dengan kenderaan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak JKR Jempol serta Selia Selenggara Selatan yang prihatin dengan aduan yang dikemukakan pada tahun lepas hingga berjaya dilaksanakan sebelum Syawal tahun ini.
“Inilah satu lagi inisiatif saya sebagai ADUN Jeram Padang dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin, khususnya dari aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan ini,” tambahnya lagi. – UMNO Online
