Malaysia Zahir Solidariti Bersama Qatar, Pelihara Keamanan

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Malaysia mengecam sekeras-keranya tindakan Israel menyerang Qatar dan bersolidariti dalam memelihara keamanan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan lawatan kerja ke Qatar diteruskan dengan mesyuarat bilateral Malaysia-Qatar.

“Kunjungan ke Kementerian Pertahanan Negara Qatar diteruskan dengan mesyuarat bilateral Malaysia-Qatar, diikuti pertemuan empat mata bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Qatar.

“Malaysia sangat menghargai hubungan erat yang telah terjalin bersama Qatar sejak tahun 1974 dan kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama, termasuklah dalam aspek pertahanan,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua negara bertekad untuk memperluas kerjasama termasuk dalam peningkatan keupayaan ketenteraan.

“Kedua-dua negara bertekad memperluas kerjasama melalui pelbagai inisiatif, termasuk peningkatan keupayaan ketenteraan, serta persefahaman strategik lain yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak.

“Saya turut mengambil kesempatan menzahirkan pendirian Malaysia yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menyerang Qatar, yang dianggap cukup melampau. Malaysia menzahirkan solidariti bersama Qatar dalam memelihara keamanan,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah memulakan lawatan rasmi ke Qatar dengan mengadakan kunjungan ke Kementerian Pertahanan Negara Qatar di Doha.

“Memulakan lawatan rasmi ke Qatar dengan berkunjung ke Kementerian Pertahanan Negara Qatar di Doha.

“Ketibaan saya disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Qatar, TYT Sheikh Saoud bin Abdulrahman bin Hassan bin Ali Al Thani,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa sambutan mesra tersebut mencerminkan hubungan erat di antara Malaysia dan Qatar.

“Saya kemudiannya menerima kawalan kehormatan utama oleh Qatar Armed Forces sebelum diperkenalkan kepada pimpinan tertinggi serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan Negara Qatar dan Qatar Armed Forces.

“Sambutan mesra ini mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Qatar selama ini. Semoga hasil lawatan ini akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan demi kepentingan bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO