Platform E-Dagang Buka Peluang Kepada Usahawan Wanita – Noraini
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan era digital yang pesat berkembang hari ini membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk wanita Malaysia mencipta kejayaan dalam bidang keusahawanan, khususnya menerusi platform e-dagang.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, melalui platform maya tersebut ia bukan sahaja menjadi medium jual beli moden, malah menjadi nadi baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara
“Era e-dagang hari ini membuka ruang dan potensi yang begitu luas. Platform seperti Shopee, TikTok Shop dan Lazada telah menjadi nadi pertumbuhan ekonomi baharu.
“Saya yakin, dengan bimbingan, ilmu dan kreativiti yang dimiliki, wanita Malaysia mampu melakar lebih banyak kejayaan di dunia digital,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noraini berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya
menyempurnakan Majlis Penutupan Program eRISE Masterclass – Memperkasa Wanita Melalui E-Commerce anjuran Yayasan Juwita yang diadakan di Auditorium, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia, malam tadi.
Katanya kehadiran usahawan wanita dari pelbagai latar belakang dalam program tersebut membuktikan bahawa golongan wanita kini lebih berani untuk melangkah ke hadapan dalam memanfaatkan peluang ekonomi digital.
“Saya amat berbesar hati melihat semangat yang ditunjukkan oleh para peserta yang bukan sahaja ingin menimba ilmu, malah sanggup meluangkan masa demi memperkukuh perniagaan masing-masing.
“Kehadiran mereka adalah tanda bahawa wanita Malaysia tidak pernah ketinggalan dalam arus baharu ekonomi digital yang kian pesat membangun,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Noraini memaklumkan kerajaan komited fokus kepada pembangunan ekonomi digital melalui dasar MyDIGITAL dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
Menurut beliau pelbagai usaha telah digerakkan untuk memastikan rakyat, khususnya wanita dan belia, dapat mengambil manfaat sepenuhnya daripada transformasi digital.
“Saya turut menghargai kerjasama strategik antarabangsa yang dijalinkan, khususnya dengan Guangdong Lingnan Modern Technician College dari China.
“Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuh jaringan global, malah membuka ruang pertukaran ilmu dan pengalaman yang amat berharga untuk usahawan kita,” ujar beliau. – UMNO Online
