Malaysia Terus Konsisten Membawa Suara Rakyat Tertindas di Pentas Dunia

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten membawa suara rakyat tertindas di pentas dunia, selaras dengan komitmen negara untuk memperjuangkan keamanan sejagat dan keadilan sosial.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 yang berlangsung di ibu negara pagi tadi.

 

Menurut beliau, Malaysia bukan sahaja berdiri teguh mengecam penindasan, khususnya kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, tetapi juga berperanan aktif sebagai peneraju dialog, solidariti dan kerjasama antarabangsa.

“Malaysia akan terus memperkukuh peranan dalam mengangkat isu rakyat yang dizalimi, sambil memimpin kerjasama global demi mewujudkan masa depan dunia yang lebih adil dan aman,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Forum antarabangsa itu menghimpunkan delegasi global bagi membincangkan agenda keselamatan sosial sejagat, sekali gus memperlihatkan kepercayaan dunia terhadap Malaysia sebagai tuan rumah dan rakan dialog penting dalam memperjuangkan keadilan sosial.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa suara Malaysia tidak akan pernah padam dalam usaha membela rakyat tertindas, malah negara akan terus menjadi simbol solidariti antarabangsa menentang segala bentuk penindasan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO