Konvensyen URA: Resolusi Penting Untuk Masa Depan Masyarakat Bandar – TPr Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman berharap Konvensyen Melayu Bandar yang akan diadakan esok di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dapat menghasilkan satu rumusan serta resolusi penting demi masa depan masyarakat Melayu di kawasan bandar.

Katanya, konvensyen itu dilihat sebagai platform terbaik untuk menilai pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sama ada ia mampu memberi manfaat, ditambah baik atau ditolak terus.

“Saya berharap pada Konvensyen Melayu Bandar kali ini dapat membuat satu rumusan serta resolusi untuk menuju masa depan dengan pelaksanaan URA ini, sama ada ia baik untuk kita atau pun perlu ditambah baik atau kena tolak seterusnya.

“Apabila pelaksanaan URA ini nanti, adakah ia memberi kesan positif mahupun sebaliknya. Inilah perkara yang perlu diambil kira dan telah diberikan kepada jurucakap-jurucakap untuk menyampaikan suara mereka.

“Ini adalah aspirasi yang saya mahukan semua lapisan masyarakat sama-sama terlibat memberi pandangan dan akhirnya kena pastikan bahawa URA ini mengambil semua kepentingan semua pihak dan perlu dijalankan dengan berhati-hati, tidak tergopoh-gopoh dan paling penting adalah nasib ‘survival’ orang Melayu di bandar pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan berkaitan hal ini. 

Konvensyen ini diketua oleh Pasukan Khas UMNO merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi penambahbaikan RUU Akta URA, serta membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Program tersebut akan berlangsung pada 3 Oktober bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, WTC, di sini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO