UMNO Pilih Politik Penyelesaian, Tolak Demonstrasi Isu URA – Shahrul Nasrun
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata UMNO lebih mengutamakan pendekatan matang dan konstruktif dalam menangani isu rakyat terutamanya berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) berbanding turun ke jalan mengadakan demonstrasi.
Menurutnya, demonstrasi hanya melahirkan suara kemarahan tanpa menawarkan jalan keluar yang tuntas, manakala UMNO tampil dengan solusi berfakta, berpandangan jauh serta bersandarkan kepada kepentingan rakyat.
“Demonstrasi hanya membawa suara marah, tetapi tidak menawarkan jalan keluar. Sebaliknya, UMNO tampil dengan solusi yang berfakta, berpandangan jauh dan bersandarkan kepentingan rakyat terutamanya (RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA). Inilah bezanya antara politik retorik dan politik penyelesaian.
“Pemuda Pas kelihatan lebih selesa turun ke jalan mengadakan demonstrasi bantahan URA, namun UMNO memilih pendekatan yang lebih matang dan bertanggungjawab dengan menganjurkan Konvensyen URA pada 3 Oktober ini.
“Rakyat perlukan jawapan dan hala tuju yang jelas, bukan sekadar laungan di jalanan. UMNO akan terus membuktikan bahawa setiap isu boleh ditangani dengan cara beradab, inklusif, dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Shahrul yang juga Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) menjelaskan bahawa asas penubuhan UMNO sejak awal tidak pernah lari daripada matlamat memperkasa agama, bangsa dan negara.
“UMNO akan terus memperjuangkan hak rakyat kerana UMNO ditubuhkan bukan atas dasar kebencian atau kepentingan individu, tetapi atas semangat perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Meskipun berdepan pelbagai cabaran politik semasa, UMNO kekal konsisten dalam mempertahankan kepentingan rakyat, di samping menolak politik retorik yang hanya berorientasikan kepentingan kelompok tertentu,” ujarnya.
Terdahulu, Pemuda Pas melalui Timbalannya Mohd Hafez Sabri mengajak Pemuda UMNO menyertai Himpunan Mega Tolak URA yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober di ibu kota, tetapi ditolak oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Malah Dr Akmal turut mengajak Pemuda Pas untuk menyertai dialog yang dianjurkan oleh UMNO bagi menyelesaikan permasalahan RUU URA .
Usaha UMNO bagi menangani kemelut URA ialah mengadakan konvensyen yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat bagi memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.
Konvensyen ini akan dimulakan pada jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Masyarakat yang terdiri daripada orang persendirian, persatuan dan pertubuhan digalakkan untuk memberi pandangan, cadangan ataupun kegusaran mengenai isu pembaharuan semula bandar menerusi kod QR malah boleh hadir dan menglibatkan diri secara langsung. – UMNO Online
