Noraini Terus Komited Santuni Rakyat Parit Sulong
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad terus komited turun padang menyantuni rakyat di kawasan melalui program bersifat kemasyarakatan.
Terbaharu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menyertai program yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang bersama masyarakat di Kompleks Penghulu Mukim 3, Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat dalam Karnival Kampung Angkat Madani anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
“Program ini telah dirasmikan oleh Encik Badaruddin Tahir, Timbalan Setiausaha SPR Malaysia, dan berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan serta masyarakat setempat dalam suasana penuh kemeriahan dan kebersamaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program, antaranya pertandingan aerobikthon bertema Sarung Dan Patriotik, sukan rakyat, futsal belia, pertandingan kreativiti, pertandingan kanak-kanak serta aktiviti berasaskan kekeluargaan.
Karnival ini turut diserikan dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan melalui reruai pameran dan perkhidmatan bergerak serta sesi taklimat bagi menyampaikan mesej kesedaran dan pendidikan masyarakat.
“Pada sebelah petang pula, penyampaian sumbangan kepada 100 orang asnaf, khidmat gunting rambut percuma, penukaran minyak hitam percuma oleh Giatmara, pertandingan santai serta cabutan bertuah telah menambahkan lagi kemeriahan.
“Secara keseluruhan, karnival ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat dan agensi kerajaan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan menyemai semangat dalam memperkukuh aspirasi membina sebuah masyarakat MADANI yang harmoni, inklusif dan sejahtera,” ujar beliau. – UMNO Online
