Lawatan Kerja: MoU Buka Lembaran Hubungan Strategik Pertahanan Malaysia-Qatar
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai pada lawatan rasmi akan membuka lembaran baharu untuk memperkukuh hubungan strategik dan pertahanan Malaysia-Qatar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah tiba di Qatar untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari.

“Alhamdulillah, saya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, tengah hari Ahad (waktu tempatan) untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Qatar.
“Lawatan ini bakal menyaksikan pemeteraian MoU kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Qatar. MoU ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
“Dalam rangka lawatan ini juga, saya dijadualkan untuk kunjungan hormat kepada TYT Sheikh Saoud bin Abdulrahman bin Hassan bin Ali Al Thani, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Qatar,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau bakal mengadakan lawatan rasmi ke Barzan Holding untuk menyaksikan pemeteraian satu lagi MoU antara syarikat tempatan.

“Kunjungan hormat ini akan diikuti dengan mesyuarat dua hala, sebelum saya mengadakan lawatan rasmi ke Barzan Holdings, sebuah syarikat berkaitan industri pertahanan milik Kerajaan Qatar.
“Semasa lawatan tersebut, turut dijadualkan berlangsung adalah pemeteraian MoU antara syarikat tempatan, Ingress Corporation Bhd dan Barzan Holdings yang akan disaksikan oleh Menteri Pertahanan kedua-dua buah negara.
“Turut sama dalam delegasi Malaysia, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud,” katanya lagi. – UMNO Online
