Wanita UMNO Mantapkan Persiapan Hadapi PRN Sabah
KUALA LUMPUR, 28 Sept – Wanita UMNO Malaysia memberi fokus penuh terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memastikan jentera parti berada dalam keadaan terbaik.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Wanita UMNO yang dipengerusikannya di Bangunan UMNO Negeri Sabah, pada Khamis.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada gerak kerja jentera Wanita UMNO yang perlu digembleng secara tersusun dan berkesan bagi memperkukuh kekuatan parti.
“Saya juga berkesempatan bertemu dengan kepimpinan Wanita UMNO Negeri Sabah. Jelas terpancar semangat juang yang tinggi dengan iltizam untuk memastikan Wanita Sabah terus berada di barisan hadapan perjuangan parti,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Noraini menegaskan bahawa jentera Wanita UMNO telah bersedia sepenuhnya dan akan terus memperkemas strategi serta memperkukuh kekuatan akar umbi dalam mendepani PRN akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Exco Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita UMNO Bahagian di Sabah atas komitmen mereka dalam memastikan kesiapsiagaan jentera Wanita berada di tahap terbaik. – UMNO Online
