Kasihan UMNO? Pas Sebenarnya Cuba Alih Perhatian – Ruzaini

PADANG BESAR, 26 Sept – Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais menyifatkan kenyataan sinis pemimpin Pas, Datuk Idris Ahmad terhadap UMNO yang dikatakan “sekadar layak merebut 26 kerusi” hanyalah satu percubaan untuk mengalih perhatian daripada pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kenyataan berbaur takbur itu dilihat bercanggah dengan sikap Pas yang sebelum ini menolak apa sahaja yang keluar daripada mulut Dap.

“Pelik bila tiba-tiba Pas menerima bulat-bulat kenyataan daripada Setiausaha Agung Dap, sedangkan semua tahu apa sahaja yang datang dari Dap biasanya ditolak mentah-mentah oleh Pas. Kenapa kali ini mereka beria-ia menggunakan kenyataan itu untuk menyerang UMNO?” soal beliau.

Menurut Ruzaini, apa yang berlaku sebenarnya adalah helah Pas untuk menutup keretakan hubungan dengan PPBM selepas Muktamar Agung mereka baru-baru ini.

“Muktamar yang penuh dengan unsur ‘seloroh’ jelas meretakkan hubungan Pas dengan PPBM. Ada yang kata Pas terpaksa menanggung PPBM, ada pula PPBM dakwa sebaliknya. Bila ada percanggahan begini, jelas ada pihak yang menipu,” katanya.

Ruzaini menegaskan, serangan Pas terhadap UMNO bukanlah perkara baharu, malah sejak awal kewujudan parti itu, UMNO sentiasa menjadi sasaran.

“Apa yang pelik, dalam masa Pas terus menghina UMNO, mereka juga yang senyap-senyap berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengajak membentuk kerajaan bersama. Kalau UMNO terlalu buruk di mata Pas, kenapa masih terhegeh-hegeh mahu bersama UMNO?” soal beliau lagi.

Mengulas kenyataan Datuk Idris bahawa Pas sudah bersedia menghadapi PRU-16, Ruzaini menyindir bahawa ‘kesediaan’ Pas tidak lebih sekadar siri ceramah tanpa henti yang menjadi modal utama parti itu.

“Pas boleh bangga dengan derma tong drum dan ceramah yang tidak pernah berhenti, tetapi apa hasil yang boleh dibanggakan daripada pentadbiran negeri-negeri di bawah Pas? Masalah asas seperti air pun masih tidak selesai. Apatah lagi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sebaliknya, kata Ruzaini, UMNO jelas membuktikan keupayaan melalui prestasi menterinya dalam kerajaan ketika ini.

“Perdana Menteri sendiri memuji kualiti kerja menteri UMNO. Walaupun UMNO hanya menang 26 kerusi, sekurang-kurangnya UMNO berada dalam kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat. Pas pula walaupun konon menang banyak kerusi, bukan sahaja tidak berada dalam kerajaan, jawatan Ketua Pembangkang pun tak layak disandang,” tegas beliau.

Ruzaini juga menegaskan UMNO mempunyai strategi tersendiri untuk menghadapi PRU-16 tanpa perlu heboh-heboh seperti Pas. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO