Pangkalan Haram: Kerajaan Negeri Kelantan Perlu Tampil Bijak Bangunkan Ekonomi Rakyat
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang ditunjangi Pas perlu tampil secara bijak untuk membangunkan semula ekonomi rakyat tanpa bergantung kepada pangkalan haram.
Membidas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, beliau mengakui bahawa perobohan lebih 200 pangkalan haram di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang sedikit sebanyak mengakibatkan rakyat hilang sumber pendapatan.

“Sememangnya rakyat kehilangan sumber pendapatan apabila lebih 200 pangkalan haram di robohkan. Sepatutnya Kerajaan Negeri Kelantan yang ditunjangi Pas perlu bertindak dan memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk memperkukuh ekonomi rakyat.
“Semua rakyat tahu bahawa sudah 35 tahun Pas memerintah Kelantan tetapi mereka hanya tahu berjanji dan terus berjanji sehingga tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, pangkalan haram itu menjadi laluan untuk kegiatan-kegiatan tidak bermoral seperti penyeludupan manusia, senjata termasuklah dadah yang memberi kesan buruk kepada masyarakat di Negeri Kelantan.
“Kerajaan Negeri Kelantan juga dilihat menyorok sekian lama masalah di pangkalan haram yang menjadi laluan untuk kegiatan penyeludupan senjata, barang-barangan dan termasuklah dadah.
“Kegiatan menyeludup dadah ini memberi kesan yang amat besar, merosakkan ummah dan ia lebih teruk berbanding kehilangan sumber pendapatan ataupun rezeki rakyat seperti diperkatakan.
“Pangkalan-pangkalan haram ini juga menyebabkan kerajaan kehilangan sumber cukai yang nyata. Ini kerana kerajaan akan pulangkannya semula kepada rakyat di sempadan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa permasalahan tersebut perlu diselesaikan untuk menggerakkan Negeri Kelantan agar lebih maju ke hadapan.
“Adakah kerajaan negeri perlu menunggu dan membiarkan keselamatan di sempadan ini tidak selesai dalam tempoh berpuluh tahun lagi? Perkara ini perlu diselesaikan supaya negara kita boleh bergerak lebih maju ke hadapan.
“Dimanakah peranan Kerajaan Negeri untuk tampil secara bijak bagi membangun semula ekonomi rakyat tanpa bergantung kepada pengkalan haram?” soalnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang mungkin kehilangan sumber pendapatan susulan operasi merobohkan lebih 200 pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
Beliau berkata, operasi perobohan yang dijalankan di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu keselamatan, imigresen dan undang-undang dua negara. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
