Mustapha Nagoor Santuni Rakyat, Negeri Sembilan Angkat Martabat Sukan Wushu Antarabangsa

PALONG, 26 Sept – EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor terus mendekati masyarakat melalui program Hari Bertemu Rakyat yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Palong, Palong 3.

Ujarnya, program itu menjadi medan bermakna buat beliau yang mesra disapa Pak Mus untuk mendengar sendiri suara rakyat, selain menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang sebagai sebuah keluarga besar di DUN Palong.

Pada kesempatan tersebut, Pusat Khidmat DUN Palong turut menyampaikan sumbangan berupa cek pusat khidmat, cek Inisiatif Aspirasi Bantuan IPT Tahun 2025, sumbangan pendidikan (tunai) serta sumbangan perubatan (tunai) sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

Selain itu, turut berlangsung penyerahan surat kelulusan Program Pemerkasaan Ekonomi Belia serta surat TUNS Fasa 2 kepada 13 penerima dari DUN Palong dengan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM50,000.

“Semoga inisiatif ini memberi manfaat, meringankan beban rakyat serta membuktikan bahawa mereka sentiasa dekat di hati saya,” kata Pak Mus.

Dalam pada itu, beliau turut hadir ke Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Wanita ASEAN-China 2025 yang berlangsung meriah di Royale Chulan Seremban dengan majlis disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, serta dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Pengasas ASEAN-China Wushu Federation, Datuk Dr Chong King Fatt; dan Zhang Yuping selakuSetiausaha Agung International Wushu Federation.

Menurut Pak Mus, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja mengangkat martabat sukan wushu, malah memberi manfaat besar kepada negara dan khususnya Negeri Sembilan sebagai tuan rumah.

“Ia membuktikan potensi Negeri Sembilan dalam menganjurkan acara bertaraf dunia serta melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam arena sukan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO