Malaysia Tegas Perluas Kerjasama Serantau Demi Pendamaian Global
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan komitmen penuh Malaysia untuk memperkukuh budaya dialog dan kerjasama serantau dalam usaha mendepani konflik global.
Beliau berkata demikian sebagai Pengerusi ASEAN di Ministerial Meeting of the UN Group of Friends of Mediation yang berlangsung di New York semalam.
Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan bahawa peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam pendamaian mesti dilengkapkan dengan sokongan organisasi serantau seperti ASEAN.
“Saya menegaskan bahawa pendamaian perlu diperkukuh melalui kerjasama erat antara PBB dan organisasi serantau seperti #ASEAN.
“Sejarah menunjukkan bahawa organisasi serantau memiliki kefahaman konteks tempatan dalam proses pendamaian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut merujuk kepada peranan Malaysia sebagai pendamai sewaktu ketegangan antara Kemboja dan Thailand, sebagai contoh kejayaan ASEAN menyelesaikan konflik secara damai melalui kerjasama serantau.
Dalam masa sama, Mohamad turut menggesa agar semua negara meneguhkan komitmen bersama dalam membina sistem antarabangsa yang lebih menyokong usaha kerjasama serantau sebagai landasan kepada pendamaian yang mampan.
“Malaysia turut menyatakan komitmen memajukan budaya dialog, pencegahan dan keamanan, sambil meneguhkan kerjasama serantau dalam menghadapi konflik global.
“Selaku Pengerusi #ASEAN Malaysia bertindak sebagai pandamai apabila tercetus ketegangan antara Kemboja dan Thailand.
“Turut diseru agar semua meneguhkan semula komitmen untuk membina sistem yang lebih menyokong kerjasama serantau,” ujar beliau.
Untuk rekod Mohamad mengadakan Lawatan Kerja ke New York dari 25 hingga 28 September bagi menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025).
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, UNGA kali ini bertemakan “Better together: 80 Years and More for Peace, Development and Human Rights”, selaras dengan agenda Kerajaan Madani untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa merentas keamanan dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, ekonomi hijau, teknologi baharu serta pembangunan mampan. – UMNO Online
